RM17.5 bilion demi kesejahteraan rakyat Sabah - MOF

Iklan
Infografik dikeluarkan MoF di Facebook pada Khamis.

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17.5 bilion untuk kemajuan Sabah bagi tahun 2026 demi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan terus diperkukuh.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, projek prasarana utama seperti Pan Borneo Sabah yang bernilai RM13.9 bilion disambung semula, di samping peningkatan kemudahan asas termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II.

Iklan
Iklan

Selain itu, menurut kementerian, Kerajaan Madani memperkukuh bekalan asas dengan peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan elektrik, RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link, pemasangan panel solar hibrid di kampung-kampung kecil dan bekalan air bersih untuk projek air Sabah.

"Jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah meliputi pemberian negeri, pembiayaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api dan perbelanjaan pembangunan.

Iklan

"Untuk 2022, perbelanjaan sebenar berjumlah RM12.9 bilion, 2023 (RM13.9 bilion) dan 2024 (RM14 bilion). Peruntukan bagi 2025 sebanyak RM17.3 bilion manakala 2026 (RM17.5 bilion)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dari aspek ketersambungan Internet, MoF turut memaklumkan, Kerajaan Madani Projek Sambungan Kabel Dasar Laut Madani lebih 3,190 kilometer (km) dengan kos RM2 bilion melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Iklan

Jelas MoF lagi, Kerajaan Madani juga telah melaksanakan sembilan dari 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Antaranya, menyerahkan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah. Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri tersebut.

"Selain itu, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik Sabah di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

"Kerajaan Madani turut serah kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik Sabah sehingga RM50 juta dan meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 53) bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN," ujar MoF.