Teduhan buat keluarga pesakit  kanak-kanak

Iklan
Nur Hazwani dan anaknya, Muhammad Aisy antara keluarga yang menerima manfaat penginapan di RMH HCTM-UKM.

KUALA LUMPUR - Di sebalik tembok Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), berdiri sebuah rumah yang menyimpan ribuan kisah air mata, doa dan harapan. Di sinilah setiap tangisan berganti ketabahan dan setiap senyuman kecil membawa makna besar buat keluarga yang berjuang menemani anak-anak  melawan penyakit.

Rumah Ronald McDonald (RMH)  menjadi tempat berteduh buat ibu bapa yang datang dari jauh, ruang untuk  bernafas di tengah detik cemas menanti  rawatan anak di hospital.  

Iklan
Iklan

Dalam kesunyian malam, rumah itu menjadi tempat mereka menggenggam semula kekuatan yang hampir hilang.

Bagi keluarga pesakit, RMH bukan sekadar tempat tinggal sementara, tetapi dianggap sebagai ‘rumah kedua’ yang  memberikan kelegaan dan semangat  baharu.  

Iklan

Di sinilah mereka belajar erti reda dan tabah melihat anak kecil menempuh rawatan yang panjang dan menyakitkan.

Lebih dua dekad, rumah di bawah naungan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia itu menjadi saksi kepada kasih dan perjuangan yang  tidak pernah padam.  

Iklan

Ia bukan sahaja menyediakan perlindungan dan keselesaan, malah memberi harapan kepada keluarga yang  melalui hari-hari paling sukar dalam  hidup mereka.

Menurut Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Nordin, inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan anak-anak di bawah 18 tahun yang memerlukan rawatan dapat terus menerima sokongan  sewajarnya dengan kehadiran keluarga  di sisi.

“RMHC Malaysia mendapat so kongan dari McDonald’s Malaysia untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan di seluruh negara.  

“Rumah ini dilengkapi bilik keluarga, ruang makan, dapur dan bilik permainan, semuanya demi memastikan keluarga pesakit dapat hidup seperti di rumah sendiri, walaupun berada di hospital,”  katanya ketika ditemui di RMH HCTM UKM, Cheras.

Bilik permainan disediakan di RMH HCTM UKM. 

Mohd Nasri berkata, empat rumah  seumpamanya kini beroperasi di seluruh negara, iaitu di HCTM UKM, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)  Kelantan, Hospital Tunku Azizah (HTA)  Kuala Lumpur, dan Hospital Wanita dan  Kanak-kanak Sabah (HWKKS).

Katanya, RMH di HCTM UKM  merupakan rumah pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, yang kemudiannya menjadi model kebajikan global diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Segala kos pembinaan dan operasi melalui sumbangan orang ramai dan syarikat korporat,” jelasnya.

Selain kemudahan penginapan, RMHC turut melaksanakan tiga program utama lain, termasuk bantuan kepada pusat jagaan anak autisme dan orang kelainan upaya (OKU), tajaan  pembedahan bayi klef, sumbing bibir serta lelangit dan program pendidikan untuk keluarga berpendapatan rendah.

“Kami telah menyediakan 35 bilik sensori dan terapi autisme di seluruh negara, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk  memperluaskan kemudahan itu.

“Bagi bayi klef (sumbing) pula, RMHC menaja sepenuhnya rawatan termasuk pembedahan, rawatan ortodontik dan perbelanjaan perjalanan sehingga pesakit berusia21 tahun,” tambahnya.

Semangat baharu  

Salah seorang penghuni RMH, Teruna Timpal, 51, berkata, rumah itu menjadi penyambung semangat dalam perjuangannya menemani anak bongsu, Nor Aliya Natasha, 15, yang menghidap leukemia.

Teruna ditemani anaknya, Nor Aliya ketika berkongsi pengalaman tinggal di RMH HCTM-UKM.

Sebelum mengenali RMH, Teruna pernah tidur di atas kerusi wad selama beberapa malam dan berulang-alik sejauh ratusan kilometer setiap minggu dengan kos mencecah RM250.

“Sekarang saya boleh berjimat dan fokus sepenuhnya kepada anak. Rumah ini sangat selesa, tenang dan menjadi tempat berpaut,” katanya dengan nada sebak.

Bagi Nur Hazwani Harun, 39, RMH di HCTM UKM menjadi tempat berlindung sewaktu menjaga anak sulungnya, Muhammad Aisy Al Amin Zulfadhli, 13, yang menghidap penyakit kronik sejak  bayi.

Sebelum ini, Hazwani dan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pernah tidur dalam kereta setiap malam semata-mata untuk berada dekat dengan anak di wad.

“Semasa Aisy di unit rawatan rapi, saya langsung tidak pulang ke rumah dan tidur dalam kereta kerana waktu melawat terhad.

“Apabila dapat menginap di RMH, saya sangat bersyukur. Jika berlaku kecemasan, kami boleh segera ke wad tanpa perlu risau,” katanya.

Baginya, RMH bukan sekadar tempat  berteduh, tetapi ruang untuk berkongsi air mata dan kekuatan bersama ibu bapa lain yang melalui nasib sama.

“Terima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan semua penyumbang. Anda bukan sahaja membantu membina rumah ini, tetapi juga memulihkan hati kami,” ujarnya penuh emosi.

Dengan lebih 1,000 keluarga yang telah mendapat manfaat daripada kemudahan ini sejak diwujudkan, RMH terus menjadi simbol kasih sayang dan solidariti kepada mereka yang sedang  berjuang demi kehidupan anak-anak tersayang.