11 koperasi Pahang tersenarai dalam 100 terbaik Malaysia

Iklan
Al-Sultan Abdullah mengurniakan anugerah koperasi kariah masjid terbaik 2025 dan pengurniaan anugerah koperasi masjid harapan 2205 kepada salah seorang wakil masjid pada Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 di sebuah hotel di bandaraya Kuantan pada Khamis.

KUANTAN – Sebanyak 11 koperasi dari Pahang berjaya tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun ini, sekali gus mengangkat nama negeri ini di persada gerakan koperasi negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, koperasi yang tersenarai termasuk Koperasi Serbaguna Dara Berhad, Koperasi Felda Sungai Koyan 3 Berhad, dan Koperasi LKPP Pahang Berhad.

Iklan
Iklan

"Ketiga-tiga koperasi ini juga merupakan penyumbang zakat terbesar di negeri Pahang.

"Patik ingin menyembah maklum bahawa negeri ini, sumbangan zakat oleh seluruh gerakan koperasi adalah bernilai lebih kurang RM5.3 juta," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 di sebuah hotel di bandaraya Kuantan pada Khamis.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan majlis perasmian konvensyen tersebut.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Konvensyen anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu menghimpunkan lebih 200 Koperasi Kariah Masjid dari seluruh negara.

Bertemakan ‘Koperasi Memperkasa Ekonomi Ummah, Membina Ekonomi MADANI’, konvensyen itu bertujuan memperkukuh peranan Koperasi Kariah Masjid sebagai ejen penggerak pembangunan ekonomi komuniti Islam setempat, selain menjadi platform penyatuan ummah melalui aktiviti ekonomi berlandaskan prinsip syariah.

Di Pahang, terdapat 1,173 koperasi dengan keanggotaan sekitar 307,000 orang, mencatat perolehan sebanyak RM980 juta, modal syer RM452 juta, dan aset RM1.7 bilion.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee memberitahu, koperasi kariah masjid di seluruh negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan 578 koperasi berdaftar dan keanggotaan seramai 47,830 orang.

Khairul Dzaimee

Jelasnya, sehingga kini, koperasi kariah masjid mencatat perolehan RM30.6 juta dan jumlah aset RM41.11 juta.

"Ini membuktikan bahawa koperasi-koperasi masjid juga mampu menjana ekonomi dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial komuniti setempat," katanya lagi.

Dari segi tadbir urus, beliau berkata Institut Koperasi Malaysia (IKMA) berperanan membimbing pengurusan koperasi, termasuk koperasi kariah masjid, ke arah kecekapan dan ketelusan tadbir urus.

"Bagi tempoh tiga tahun terkini, 597 pegawai koperasi kariah masjid telah dilatih oleh IKMA di seluruh negara," ujarnya.