KUALA TERENGGANU - Lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM500 setiap seorang.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pengumuman itu dibuat secara berasingan daripada pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 kerana kerajaan mahu membudayakan pembentangan bajet yang lebih berfokus dan mudah difahami rakyat.
"Ada pihak di luar yang mempersoalkan pembentangan bajet tahun ini kerana tiada disebut angka atau bonus.
"Sebenarnya, ini disengajakan. Kita mahu pembentangan bajet bukan menjadi medan ‘grandstanding’ atau tempat bermain bahasa, tetapi ruang untuk berbicara secara jelas dan terus kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, keputusan itu adalah kali pertama daripada tujuh pembentangan bajet sejak 2018 yang tidak menyebut angka termasuk bonus.
"Saya sudah beritahu Pegawai Kewangan Negeri bahawa saya tidak akan sebut bonus dalam pembentangan bajet, tetapi akan umumkannya dalam penggulungan.
"Ada orang yang tidak sabar menunggu pengumuman ini, mungkin bukan pun daripada kalangan kakitangan awam Terengganu," ujarnya.
Katanya, pemberian bonus itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap khidmat dan dedikasi penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.