JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjelaskan bahawa kapal yang terlibat dalam insiden kebakaran kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada minggu lalu bukanlah kapal MSC Kyparissia seperti dilaporkan sebelum ini.
Dalam kenyataan pada Khamis, JBPM Johor memaklumkan bahawa kapal berkenaan ialah kapal yang disewa oleh Maersk iaitu MV Kyparissia.
“Segala maklumat lain dalam kenyataan terdahulu kekal tidak berubah, termasuk fakta operasi, masa kejadian, jumlah mangsa, serta tindakan penyelamatan dan pemadaman yang sedang dilaksanakan.
“JBPM Negeri Johor memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ketepatan maklumat rasmi,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian pada 7 November lalu, tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera selepas berlaku kebakaran pada sebuah kontena di atas kapal yang sedang berlabuh di PTP.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 17 minit kemudian.
“Siasatan mendapati kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak (under hatch) Blok 5.
“Kejadian melibatkan enam mangsa, iaitu tiga disahkan maut dan tiga lagi cedera iaitu seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun serta dua warga Filipina berusia lingkungan 40-an,” katanya.