KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR) akan terus meneliti kemajuan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan pada Mac lalu dan dijangka berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, KRPPM-IGAR akan membantu memantau perkembangan pelaksanaan akta tersebut termasuk dari segi perincian struktur perjawatan, perkhidmatan serta penyediaan peraturan mesyuarat yang berkaitan bagi memastikan Parlimen dapat berfungsi dengan lebih bebas dan berkesan.
"Mesyuarat KRPPM-IGAR kali ini juga membincangkan mengenai Akta Perolehan Kerajaan yang baru diluluskan. Walaupun akta tersebut merupakan satu langkah penting ke arah reformasi pengurusan kewangan awam, mesyuarat berpandangan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
"Antara kebimbangan yang dibangkitkan, kemungkinan wujud penyalahgunaan kuasa di bawah akta berkenaan, khususnya jika berlaku pertukaran kerajaan atau kepimpinan.
"KRPPM-IGAR menegaskan bahawa ketelusan dan kebertanggungjawaban mesti kekal menjadi prinsip utama dalam pelaksanaan akta ini agar setiap kerajaan yang memerintah berpegang kepada dasar yang sama telus dan berintegriti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat KRPPM - IGAR kelapan di Parlimen di sini pada Rabu.
Tambah Syed Ibrahim, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada perkembangan dasar serta langkah-langkah pelaksanaan berkaitan aspek informasi, pentadbiran, pengurusan dan tadbir urus yang baik dalam sistem penyampaian kerajaan.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut menumpukan perbincangan terhadap kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan integriti, ketelusan dan reformasi tadbir urus negara.
"Antara perkara utama yang dibincangkan adalah mengenai Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information Act serta penubuhan Ombudsman.
"Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat kerana matlamat utama adalah untuk memastikan rakyat mempunyai akses terhadap maklumat secara terbuka dan telus, sekali gus memperkukuh kebertanggungjawaban institusi kerajaan terhadap rakyat," katanya.
Menurut Syed Ibrahim, mesyuarat kali ini juga bersetuju untuk meneruskan pemantauan terhadap kemajuan pelaksanaan pelbagai reformasi institusi yang sedang dijalankan.
Selain itu katanya, KRPPM-IGAR akan mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terlibat dalam bidang tadbir urus dan perundangan.
"KRPPM-IGAR akan terus berperanan sebagai platform rentas parti yang memperjuangkan agenda integriti, tadbir urus yang baik dan usaha pencegahan rasuah secara berterusan.
"Usaha ini penting bagi memastikan setiap reformasi institusi yang digerakkan benar-benar dilaksanakan dengan telus, berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, mesyuarat KRPPM-IGAR kali ini menampilkan komitmen bersama untuk memperkukuh asas tadbir urus negara melalui langkah-langkah pembaharuan yang realistik dan berimpak tinggi.
Menurutnya, tiga perkara teras dipersetujui dengan jelas sebagai hala tuju utama dalam mempertingkat kebertanggungjawaban dan keutuhan sistem demokrasi Malaysia.
Beliau menjelaskan, perkara pertama ialah keperluan untuk memperkukuh aspek undang-undang dan reformasi institusi, termasuk pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), penubuhan Ombudsman serta pindaan kepada Akta SPRM.
"Langkah-langkah ini penting bagi memastikan akauntabiliti dan keberkesanan agensi berkaitan. Dalam masa sama, cadangan untuk menubuhkan Law Commission turut diberi perhatian sebagai usaha memperkemas kerangka perundangan negara.
"Seterusnya, penambahbaikan terhadap prosedur dan tadbir urus Parlimen turut diberi penekanan khususnya melalui pelaksanaan Parliament Service Act serta akta yang berkaitan dengan urusan kewangan Parlimen.
"Antara cadangan yang dibincangkan termasuk mewujudkan kaedah konsultasi yang jelas dan berpandukan garis panduan bagi memastikan setiap proses legislasi dan semakan dasar dijalankan secara telus dan sistematik," katanya.
Tambah beliau, selain itu, usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan ahli Parlimen terhadap peranan jawatankuasa, tadbir urus baik serta nilai integriti turut menjadi keutamaan.
Ujarnya, kesedaran itu dilihat penting bagi melahirkan budaya politik yang berasaskan prinsip akauntabiliti dan tanggungjawab terhadap rakyat.
"Mesyuarat ini mencerminkan gabungan idealisme dan realisme yang seimbang, satu gabungan penting bagi membawa Malaysia ke tahap tadbir urus yang lebih matang, telus dan berdaya tahan," jelasnya.