SETIAP kali nak masuk tahun baru, benda paling popular bukan bunga api, bukan countdown tetapi azam nak kuruskan badan.
Dari tahun lepas, tahun sebelumnya, sampai tahun ini, azam sama cuma badan saja yang makin makmur. Setiap penghujung tahun, ramai kawan pejabat semangat berapi cakap, “tahun depan aku nak kurus betul-betul!”
Baru seminggu kafe di pejabat dibuka, sudah nampak barisan panjang dekat nasi campur termasuklah rakan Merak Jalanan itu tadi. Tengah hari pula ada kek atas meja, petang minum teh ais kaw. Esoknya, kongsi pula video diet. Esok yang tak pernah sampai.
Macam satu kitaran tahunan, azam kurus tetapi makan tak ingat dunia. Menyesal, kemudian ulang semula. Kalau azam boleh dipindahkan, ramai agaknya dah carry forward sampai lima tahun berturut-turut.
Disiplin selalu tumbang depan ayam goreng panas. Sama macam kawan Merak Jalanan. Berazam sewaktu mulut mengunyah ayam goreng di kafe. Nak sihat, tetapi gaya hidup macam pertandingan, siapa paling banyak makan waktu lunch hour.
Lucunya, ramai buat azam sebab ikut trend, bukan sebab benar-benar nak berubah. Asal masuk tahun baru, mesti nak nampak fresh, padahal niat pun suam-suam teh.
Nak kurus bukan azam semusim. Ia perang jangka panjang melawan nafsu makan, bukan lawan timbangan.
Merak Jalanan nak pesan, tak salah nak berazam tetapi biarlah berpijak di bumi nyata. Kalau tahun ni pun masih carry forward azam yang sama, tak apa, janji jangan carry forward pinggan kedua.
Mulakan perlahan, janji istiqamah. Sebab badan sihat bukan untuk nampak cantik di Instagram, tetapi untuk rasa cergas bila hidup makin mencabar.
Selepas beberapa bulan azam nak kurus tadi mulai kendur dan lama-kelamaan ia semakin ke Laut China Selatan.