KUALA TERENGGANU - Kisah perjuangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal diangkat ke layar antarabangsa menerusi sebuah dokumentari bertajuk The Pulse yang dirancang untuk ditayangkan di platform penstriman terkenal, Netflix.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dokumentari itu diusahakan oleh sebuah syarikat penerbitan tempatan yang memilih atlet kelahiran Terengganu itu sebagai subjek utama.
Menurutnya, pemilihan Azizulhasni yang mesra digelar Jijoe dibuat kerana kisah luar biasanya sebagai atlet yang berjaya bangkit selepas menjalani pembedahan jantung, sekali gus menjadikannya inspirasi buat ramai pihak.
"Tajuk The Pulse membawa maksud 'nadi' melambangkan semangat Jijoe yang tidak pernah terhenti dalam perjuangan sukan berbasikal.
"Dokumentari ini akan memaparkan bagaimana beliau terus berjuang, bangkit semula selepas pembedahan dan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang kariernya," katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Hishamuddin sebelum itu turut mengemukakan perkara berkenaan ketika ucapan penggulungan beliau pada sidang DUN tersebut.
Beliau berkata, antara pengalaman yang akan dimuatkan termasuk kejadian Azizulhasni tertusuk kayu semasa berlumba tetapi tetap meneruskan kayuhan, selain kisah pembedahan jantung serta perjuangannya menuju pentas Olimpik walaupun pernah melalui episod disingkirkan.
"Semangat juang beliau yang luar biasa itu menjadi tunjang utama dokumentari ini," ujar Hishamuddin.
Katanya, urusan produksi dokumentari berkenaan kini berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya serta akan ditayangkan pada suku ketiga 2026.
Beliau menambah, projek itu bukan sahaja memberi penghargaan kepada kejayaan Azizulhasni, malah turut mengangkat nama Terengganu sebagai negeri yang melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.
"Kerajaan negeri menyokong usaha ini kerana selain mengiktiraf sumbangan Jijoe, ia juga memberi manfaat kepada negeri.
"Jika ditayangkan di Netflix, impaknya besar dan boleh memperkenalkan Terengganu di peringkat dunia,” katanya.
Menurutnya, Terengganu sememangnya dikenali sebagai kuasa besar dalam sukan lasak khususnya berbasikal dan dokumentari itu diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet muda lain agar tidak mudah mengalah.
"Kalau Jijoe mampu bangkit selepas melalui ujian berat, atlet lain juga perlu mempunyai semangat yang sama," katanya.