SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menegaskan tindakan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja tidak boleh dianggap sebagai kegagalan Malaysia dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara rundingan serantau.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keputusan Bangkok membekukan deklarasi damai itu selepas hanya dua minggu dimeterai berpunca daripada tekanan politik dalaman dan faktor keselamatan tentera di sempadan, bukan kelemahan diplomasi Kuala Lumpur.
“Letupan periuk api di wilayah Si Sa Ket yang mencederakan anggota tentera Thailand menjadi pencetus segera kepada keputusan itu.
"Namun dari sudut diplomasi, ia bukan tanda kegagalan proses damai, sebaliknya langkah berjaga-jaga oleh Bangkok bagi menenangkan tekanan ketenteraan dan politik domestik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, Thailand menggantung gencatan senjata dan menuduh Kemboja menanam periuk api baharu di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Menteri Pertahanan Thailand, Natthaphon Narkphanit mengesahkan Bangkok menangguhkan pelaksanaan perjanjian itu dan tidak akan memulangkan 18 tahanan perang Kemboja seperti persetujuan asal.
Penggantungan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kebangkitan semula konflik bersenjata yang pernah menyaksikan pertempuran lima hari pada Julai lalu sehingga meragut puluhan nyawa - pertumpahan darah terburuk dalam pertikaian sempadan dua negara sejak era kolonial Perancis.
Pada 26 Oktober lalu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bersetuju menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang menyaksikan Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai saksi.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu menegaskan Malaysia hanya berperanan sebagai fasilitator berkecuali, bukan pihak yang menentukan terma perjanjian dengan pendekatan itu diiktiraf kedua-dua negara sebelum penggantungan diumumkan.
“Malaysia mesti kekal berprinsip, tidak berpihak dan meneruskan diplomasi senyap (quiet diplomacy) serta langkah membina keyakinan bagi mengekalkan kepercayaan kedua-dua pihak terhadap keikhlasan Kuala Lumpur,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut menolak dakwaan seorang bekas jeneral Thailand yang menuduh Malaysia sebagai ‘musuh dalam selimut ASEAN’ serta menyifatkannya sebagai retorik politik domestik yang tidak mewakili pendirian rasmi Bangkok.
PN, katanya, berpandangan penggantungan itu tidak mencalar kredibiliti ASEAN, sebaliknya ujian taktikal terhadap keupayaan organisasi itu mengurus konflik secara diplomatik.
"ASEAN masih mempunyai kapasiti memulihkan rundingan melalui penubuhan Panel Teknikal Bersama untuk menyiasat insiden periuk api dan menilai semula sempadan berdasarkan indikator keselamatan," jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata keputusan menggantung perjanjian itu lebih banyak dipacu oleh faktor dalaman tentera Thailand, bukannya peranan Malaysia.
Menurut beliau, langkah itu juga mesej politik dalaman bagi mengukuhkan legitimasi kerajaan Anutin, bukan tanda penolakan terhadap Malaysia atau ASEAN.
“Penangguhan ini dijangka bersifat sementara kerana Bangkok masih memerlukan ASEAN dan Washington bagi menstabilkan sempadan serta mengurus tekanan geopolitik,” katanya.
Collins turut menjelaskan bahawa diplomasi Malaysia kekal berasaskan prinsip kesederhanaan dan penyelesaian damai serta terus diiktiraf di peringkat serantau.
“Menuduh Malaysia gagal adalah tidak berasas. Peranan Kuala Lumpur sebagai pemudah cara masih penting bagi memastikan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan,” tegasnya.