KPDN bongkar aktiviti seleweng minyak masak di gudang Sungai Jawi

Iklan
Jegan (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak dan peralatan dirampas dalam Ops Tiris 3.0 pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan KPDN, di Bukit Minyak pada Rabu.

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah gudang di Sungai Jawi, pada Selasa.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, Ops Tiris 3.0 itu hasil risikan sebulan itu melibatkan lima pegawai penguat kuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pemotongan minyak masak dalam bungkusan paket 1 kilogram (kg) sebelum dipindahkan ke dalam tong biru berkapasiti 150 liter menggunakan peralatan khas.

"Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan bersubsidi bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran.

Iklan

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 5,720kg minyak masak peket 1kg, 25 botol kosong minyak masak 5kg, satu bundle plastik kosong minyak masak pelbagai jenama serta dua tong biru berisi cecair minyak dipercayai hasil pindahan daripada bungkusan asal," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan KPDN, di Bukit Minyak pada Rabu.

Jegan berkata, turut ditemui satu unit pam dan sembilan unit gunting yang disyaki digunakan bagi aktiviti pemindahan minyak.

Iklan

Katanya, semua barangan dan dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM16,892.

"Siasatan awal mendapati gudang terbabit telah beroperasi tiga bulan tanpa lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan undang-undang.

"Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan," tambahnya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.