[VIDEO] KPM tetapkan tiada CCTV di ruang privasi pelajar

Iklan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan kamera litar tertutup (CCTV) tidak akan dipasang di ruang melibatkan privasi termasuk bilik tidur, tandas atau tempat persalinan di asrama sekolah bagi menjaga kehormatan pelajar.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, pengawasan di ruang tersebut akan diperkukuhkan melalui rondaan warden secara berjadual sebagai langkah tambahan mengelak berlakunya insiden buli.

Iklan
Iklan

“Dalam konteks penentuan lokasi pemasangan CCTV, KPM menitikberatkan keseimbangan antara keselamatan murid dan privasi mereka berdasarkan khidmat nasihat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

“Justeru, CCTV hanya akan dipasang di ruang awam yang strategik dan berisiko tinggi, seperti laluan utama asrama termasuk pintu masuk dan keluar, kawasan tangga dan koridor, dewan makan, bilik seterika serta kawasan persekitaran blok asrama yang terpencil,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung lokasi yang terbaik untuk pemasangan CCTV bagi mengelakkan kes buli berlaku di asrama jika ia berisiko mendedahkan aib pelajar.

Beliau menambah, ketika ini sebanyak 149 daripada 200 buah sekolah telah selesai dipasang CCTV, menjadikan pencapaian semasa sebanyak 75 peratus.

Iklan

Ujarnya, proses pemasangan alat pengawasan itu bermula 13 Oktober lalu sebagai langkah drastik diambil kementeriannya bagi menangani kes buli melibatkan pelajar sekolah yang mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pembelian dan pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama terpilih.

Menurutnya, proses perolehan dilaksanakan secara terbuka melalui sistem ePerolehan berpandukan kepada Pekeliling Perbendaharaan PK2.1 Perihal Umum yang telah menetapkan had nilai dan tatacara perolehan yang sedang berkuat kuasa.

“Perolehan telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah bergantung kepada situasi masing-masing,” katanya.