LANGKAWI – Hubungan dua hala Malaysia dan Rusia terus diperkukuh apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk melaksanakan pelan konkrit kerjasama dalam 17 bidang utama sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknologi dan Kebudayaan (JC-ESTC) keempat yang berlangsung di sini pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov itu merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan tinggi, pelancongan, teknologi, tenaga dan kebudayaan.
Menurut Zambry, Malaysia amat menghargai komitmen delegasi Rusia yang hadir dalam jumlah besar melebihi 130 orang, menggambarkan keazaman kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan strategik yang terjalin sejak sekian lama.
“Mesyuarat kali ini membuahkan hasil penting dengan tumpuan kepada pendidikan, perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, aeroangkasa dan pembangunan industri halal.
“Ia menandakan komitmen bersama ke arah kerjasama yang lebih berimpak tinggi,” katanya ketika berucap dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju mempercepatkan usaha pemansuhan sebahagian keperluan visa bagi memudahkan perjalanan dan pertukaran rakyat, selain memberi keutamaan kepada penyambungan semula penerbangan terus yang dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi, khususnya di Langkawi.
Dalam bidang pendidikan, Rusia turut menawarkan 40 biasiswa tahunan kepada pelajar Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh hubungan akademik serta mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.
“Kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan akan diteruskan dalam bidang termaju seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan sains data. Ini selaras dengan agenda transformasi digital Malaysia,” jelasnya.
Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mempergiatkan rundingan perjanjian penggunaan tenaga nuklear secara aman menjelang suku pertama tahun 2026, termasuk meneroka potensi teknologi loji kuasa nuklear berasaskan daratan atau terapung.
Rusia turut menyatakan minat untuk membekalkan LNG dan LPG secara jangka panjang kepada Malaysia serta berkongsi kepakaran dalam sistem pengurusan sisa dan teknologi tenaga hijau.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan bahawa keutamaan utama Malaysia kini ialah memastikan semua perjanjian dua hala yang telah dimeterai dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Kita tidak mahu sekadar menandatangani memorandum baharu, tetapi menekankan hasil sebenar yang boleh dinikmati bersama,” ujar beliau
Sementara itu, Valery Falkov dalam ucapannya menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai kejayaan besar yang membuktikan hubungan erat kedua-dua negara semakin kukuh dari tahun ke tahun.
Sementara itu, Valery Falkov dalam ucapannya menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai kejayaan besar yang membuktikan hubungan erat kedua-dua negara semakin kukuh dari tahun ke tahun.
Beliau mendedahkan bahawa jumlah dagangan antara Malaysia dan Rusia meningkat sebanyak 32 peratus sejak awal tahun 2025, manakala jumlah pelancong Rusia ke Malaysia melonjak 76 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Kami gembira melihat semakin banyak syarikat Rusia menubuhkan kilang dan fasiliti di Malaysia, termasuk dalam industri petroleum dan batu nilam sintetik. Ini menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap persekitaran pelaburan di sini,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia turut menjadi bukti komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan.
“Yang paling penting ialah hubungan peribadi dan komunikasi langsung yang telah terjalin antara wakil universiti kedua-dua negara. Ini asas kepada kerjasama masa depan,” ujarnya.
RM16.5 bilion setahun nilai ekonomi pelajar antarabangsa di Malaysia
Dalam pada itu, kehadiran lebih 143,000 pelajar antarabangsa di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan menyumbang pendapatan kasar negara mencecah RM16.5 bilion setahun, sekali gus membuktikan sektor pendidikan tinggi sebagai pemacu ekonomi yang signifikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin berkata, angka itu berdasarkan purata perbelanjaan bulanan seorang pelajar antarabangsa yang dianggarkan sekitar RM10,800 termasuk yuran pengajian, penginapan, makanan dan perbelanjaan harian.
“Ramai tidak sedar bahawa kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, malah turut menggerakkan ekonomi setempat. Makcik jual karipap, peniaga nasi lemak, penyedia sewa rumah, semua mendapat limpahan rezeki,” katanya.
Menurut beliau, forum pendidikan tinggi Malaysia-Rusia (MaHEF 2025) yang dianjurkan serentak dengan JC-ESTC merupakan antara inisiatif strategik untuk memperkenalkan keupayaan IPT Malaysia kepada dunia, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), kualiti akademik serta penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran.
“Dulu orang fikir kalau nak belajar, kena ke luar negara. Tapi hari ini, 80 peratus IPT kita berada dalam ranking QS. Ini menunjukkan kekuatan akademik kita semakin diiktiraf,” katanya.
Mengulas lanjut, Novie berkata, kelestarian kewangan institusi pendidikan tinggi, terutamanya universiti swasta, bergantung kepada kemasukan pelajar antarabangsa yang membayar yuran lebih tinggi berbanding pelajar tempatan.
“Pelajar tempatan di universiti awam mendapat subsidi kerajaan. Tapi bagi universiti swasta, pelajar antarabangsa adalah sumber pendapatan penting. Jadi kita perlu pastikan sektor ini terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.
Mesyuarat JC-ESTC yang berlangsung di Langkawi ini turut menyaksikan penganjuran tiga acara utama iaitu Sesi Plenari Malaysia-Rusia, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Dialog Mineral dan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia 2025.