SHAH ALAM -"Andai satu hari nanti saya sudah tiada, ingatlah bahawa setiap nafas terakhir saya dulu adalah kerana kasih dan cinta saya pada kamu semua."
Demikian catatan terakhir pesakit kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Cikgu E kepada keluarga tersayang.
Menerusi luahan terakhirnya, Nassry Mardee menzahirkan penghargaan kepada isterinya kerana menjadi tiang doa dan kekuatannya terhadap perjuangannya selama ini.
"Awak bukan sekadar isteri, tapi rahmat paling indah yang ALLAH pinjamkan. Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama. Saya mahu awak bahagia sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana," katanya dalam hantaran Facebooknya tiga hari lalu sebelum meninggal dunia pada Selasa.
Dalam hantaran sama Nassry Mardee turut menitipkan pesanan untuk kelima-lima anaknya.
Menurutnya, anak sulung, Hakeem seorang yang paling awal faham erti pengorbanan, berbangga dengan kematangan dan ketabahan anaknya itu menjaga keluarga apabila dia sudah tidak mampu selain mahu teruskan menjadi pelindung untuk ibu dan adik-adik.
"Anak kedua, Hana, kelembutan hati awak sentiasa menyejukkan suasana. Jangan pendam perasaan bila rindu abah nanti, luahkan dalam doa. Abah sentiasa dengar, walau tak nampak.
"Anak ketiga, Aleesya, senyuman awak ubat untuk semua orang. Abah nak awak terus jadi gadis yang kuat, yang sentiasa mengingatkan orang tentang sabar dan syukur.
"Anak keempat, Qistina, awak penghibur keluarga. Abah suka tengok cara awak buat semua orang ketawa walau dalam duka. Jangan berhenti menyebar keceriaan tu, sebab dunia ini perlukan hati seindah hati awak," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, mahu anak bongsunya Hafeez supaya tidak bimbang apabila dirinya sudah tiada susulan doa telus daripada anak kecil itu akan terus sampai padanya.
"Abah nak awak jadi anak soleh yang selalu doakan mak dan abang-abang serta kakak-kakak. Abah sayang kamu semua, sampai ke syurga, Insya-ALLAH.
Kalau rindu, pandang langit dan senyum, sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu," katanya.
Sementara itu, dalam catatan lain Nassry Mardee turut mengajak orang ramai agar sentiasa bersyukur terhadap segala nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT selain meluahkan bahawa hidup bukan tentang apa yang hilang, sebaliknya tentang apa yang masih ALLAH tinggalkan untuk disyukuri.
Bekas guru itu menjadi perhatian media sosial kerana tabah melawan tiga jenis kanser iaitu kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru tahap empat sejak Mac 2024 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya, di sini pada malam Selasa.
Sebelum ini, Cikgu E dilaporkan berkata beliau hanya mampu menghabiskan masanya 24 jam dalam keadaan duduk serta bergantung kepada bantuan oksigen.