'Waspada dengan iri hati, permusuhan luar' - PM

Iklan
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Di sebalik kejayaan dinikmati Malaysia pada ketika ini, negara perlu sentiasa berwaspada terhadap sikap iri hati dan permusuhan luar yang boleh membawa kesan kepada kestabilan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini mencatat rekod memberangsangkan termasuk prestasi ringgit dalam kalangan mata wang Asia, kadar pengangguran rendah dalam tempoh satu dekad serta pelaburan yang disifatkan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.

Iklan
Iklan

Namun menurut beliau, kemajuan tersebut tidak boleh menimbulkan rasa selesa kerana lembaran sejarah memperlihatkan kejatuhan bermula apabila timbul kealpaan dalam mempertahankan asas kekuatan negara.

“Kita bersyukur, tetapi syukur itu mesti hadir bersama kewaspadaan,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, apabila sebuah negara kecil seperti Malaysia meningkat maju, ia tentunya meraih perhatian dunia termasuk perhatian dalam aspek ekonomi dan geopolitik.

“Positifnya, ia menarik pelaburan dan pelancongan.

Iklan

"Kewaspadaannya kerana apakah kita dapat bertahan dan apakah mungkin bukan saja bertahan dari segi ketahanan nasional, domestik tetapi tentang iri hati dan juga permusuhan luar," jelasnya.

Anwar menambah, ketahanan negara tidak hanya bergantung kepada angka pertumbuhan tetapi kekuatan tekad rakyat mempertahankan keamanan dan perpaduan.

Beliau mengingatkan bahawa setiap jawatan bersifat sementara, termasuk kedudukan Perdana Menteri, justeru amanah perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

"Dalam sejarah kita, ada Perdana Menteri tak cukup setahun, ada Perdana Menteri dua tahun, ada Perdana Menteri tiga tahun. Ada Perdana Menteri 22 tahun.

"Tetapi semua itu peringatan kepada kita. Tidak ada yang kekal," katanya.

Beliau menambah dalam konteks persekitaran global, situasi di beberapa negara yang mengalami perpecahan agama, etnik dan ideologi seharusnya menjadi iktibar penting kepada Malaysia agar tidak mengambil mudah keharmonian sedia ada.

“Mari kita renung negara lain yang kelihatan aman tetapi sebenarnya rapuh dan mudah tercetus sengketa. Kita tidak boleh anggap keadaan di sini akan kekal begitu tanpa usaha memelihara,” ujarnya.

Anwar turut menekankan bahawa kestabilan politik juga perlu dipertahankan agar rakyat tidak terperangkap dalam ketidaktentuan akibat percaturan kuasa yang berpanjangan.

"Sekali lagi saya tegaskan sebab kita renung dan tengok negara Asia yang ada percaturan pergaduhan antara mazhab, kaum, suku kaum, ideologi yang panas dan menyebabkan gambaran negara itu sebagai dalam keadaan yang tidak stabil," katanya.

Jelas beliau, pentadbiran negara hanya akan membawa manfaat kepada rakyat sekiranya pengurusan dilakukan secara berintegriti dan telus.

"Jadi kita aman. Aman tentunya sebab keselamatan tetapi yang penting itu kesedaran rakyat.

"Yang keduanya politiknya stabil. Kita alami umpamanya politik stabil kemudian politik yang tidak menentu dan memberi kesan kepada rakyat.

"Apabila percaturan pimpinan politik itu berterusan dan tidak ada ketentuan tetapi dalam kehangatan suhu orang tak fikir (kesan) itu, dia fikir nak bertempur...Jadi negara harus aman. Politik harus stabil," katanya.

Tambah Anwar, kejayaan negara menarik minat pelabur teknologi global berlaku kerana Malaysia dilihat mempunyai arah dasar jelas serta keupayaan pelaksanaan.

"Kestabilan dan kekuasaan bukan untuk pemimpin merompak kekayaan negara. Sebab itu bagi saya, tata kelola sangat penting.

“Sebesar mana pun peruntukan kalau tidak diurus dengan baik, masalah tetap tidak selesai. Kalau pengurusan baik, manfaatnya jauh lebih besar kepada rakyat,” katanya.