KUANTAN - Rakyat Pahang perlu bersedia untuk menerima kehadiran pelabur dan peningkatan jumlah pelancong yang dijangka berlaku hasil projek-projek strategik berimpak tinggi yang sedang dibangunkan di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Pelabuhan Kuantan yang bakal memacu pembangunan ekonomi Pahang.
Menurutnya, ketiga-tiga projek itu membentuk rangkaian infrastruktur strategik yang memperkukuh kedudukan Pahang sebagai hab logistik dan perdagangan serantau Pantai Timur.
"Projek ECRL yang akan menghubungkan Pahang terus ke Pantai Barat akan memendekkan masa perjalanan serta mengurangkan kos logistik sekaligus membuka peluang besar kepada pembangunan industri, pelancongan dan perdagangan.
"Sementara itu, laluan LTU pula akan menjadi tulang belakang kepada sistem jalan raya moden yang menghubungkan daerah-daerah pedalaman di Pahang Barat dengan bandar utama manakala Pelabuhan Kuantan berperanan sebagai pintu masuk utama perdagangan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, kemudahan yang strategik itu dijangka membantu menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini akan datang.
"Dalam keadaan sekarang biarpun ketiga-tiga kemudahan itu belum siap sepenuhnya, kehadiran pelancong ke Pahang terus meningkat saban tahun.
"Sektor pelancongan Pahang terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan hampir 13 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga September berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu 13.74 juta pelancong," ujarnya.
Beliau yakin menjelang hujung tahun ini, jumlah kehadiran pelancong dijangka mencapai angka 15 juta.
Sementara itu katanya, inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan 16 kilometer radius sepanjang stesen ECRL turut menjadi faktor penarik untuk pelabur dan pelancong.
"Kita ada tujuh stesen di mana kawasan yang diistiharkan ini akan dimajukan dengan bangunan komersial, perumahan pusat tarikan dan sebagainya.
"Di Bentong misalnya, kita lancarkan Pangsapuri Pahangku di mana projek perintis ini bakal menyediakan pilihan kediaman moden, kondusif dan mampu milik kepada rakyat khususnya golongan muda, pekerja bandar dan pasangan berpendapatan sederhana," katanya.
Jelas beliau, Pangsapuri Pahangku dibangunkan berhampiran lokasi Stesen ECRL Bentong dengan penekanan kepada keseimbangan antara perumahan, mobiliti dan pembangunan ekonomi setempat.
"Ini semua bakal menjadi faktor penarik untuk pelabur dan pelancong datang ke Pahang jadi rakyat Pahang perlu bersedia," katanya.