SIK – Penduduk enam kampung di Jeneri di sini, yang mengusahakan kebun getah dan dusun buah-buahan bergadai nyawa setiap kali menggunakan jambatan gantung di Kampung Pokok Jerai yang semakin usang dan tidak lagi selamat.
Menurut M Shukeri Yaacob, 70, laluan sepanjang kira-kira 100 meter adalah jalan utama ke kebun, walaupun menyedari risiko yang bakal berlaku.
Dia menggunakan laluan itu tiga kali sehari, namun kekerapannya bertambah sehingga 10 kali sehari terutama ketika musim buah.
“Jambatan ini sudah banyak kali dilanda banjir tetapi kami tetap baiki sedikit demi sedikit dan terus menggunakannya kerana ini sahaja jalan yang ada.
“Nak guna jalan lain memang boleh, tapi terlalu jauh... kira-kira 20 kilometer berbanding laluan ini yang hanya mengambil masa lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.
Tambahnya, tiang cerucuk di tengah jambatan sudah patah selain benteng penghadang semakin usang manakala lantai jambatan pula reput.
Jelasnya, penduduk bimbang kemudahan itu berisiko dihanyutkan arus deras sekiranya banjir besar melanda kampung seperti berlaku pada November 2024 dan Oktober lalu.
Seorang lagi pengguna, Mohd Nabri Lebai Ahmad, 62, berkata, kira-kira 80 peratus penduduk dari enam kampung berdekatan menggunakan jambatan itu untuk ke kebun.
“Jumlah penduduk di sini dianggarkan sekitar 1,000 orang. Kami berharap pihak berkuasa segera membaiki jambatan ini supaya penduduk dapat menggunakannya dengan lebih selamat.
“Bahaya tetap bahaya, tapi kami perlu guna jambatan ini untuk menoreh getah, mengutip hasil dan menebang buluh,” katanya.
Mohd Nabri yang juga pesara menjelaskan beberapa pihak pernah hadir meninjau keadaan jambatan, namun tiada tindakan susulan dilakukan setakat ini.
“Kami cuma mahu jambatan ini dibaiki segera supaya boleh digunakan dengan selamat,” katanya.
Tambahnya, satu jawatankuasa bertindak perlu ditubuhkan tanpa melibatkan sebarang kepentingan politik, sebaliknya bertujuan menjamin keselamatan penduduk.
“Kami tidak mahu tuding jari. Tidak kira kerajaan negeri atau pusat, yang penting jambatan ini dibaiki segera.
“Sesiapa pun yang mahu membantu, kami alu-alukan. Ini soal keselamatan dan mata pencarian penduduk, bukan isu politik,” tegasnya.
Perkara sama turut dialami seorang lagi penduduk, Nurul Atiqah Abdul Latif, 34, yang menggunakan jambatan setiap hari untuk ke dusun durian.
“Sekarang nak lintas pun takut. Kalau air sungai naik, tidak mustahil jambatan boleh hanyut bila-bila masa,” katanya.
Sementara itu, permohonan kerja naik taraf jambatan gantung di Kampung Pokok Jerai sudah diusahakan sejak 2007, namun sehingga kini masih tiada maklum balas positif.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Jambatan Gantung Kampung Pokok Jerai, Salim Awang Kechil berkata, permohonan dibuat supaya jambatan dapat dinaik taraf kepada struktur konkrit lebih kukuh.
Menurutnya, tinjauan dan lawatan ke lokasi dilakukan pelbagai agensi setiap tahun, namun tiada perkembangan menggembirakan diterima penduduk.
“Ramai sudah datang tengok termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan agensi kerajaan negeri.
“Masing-masing berjanji nak baiki... ada yang kata tentera akan bina, tapi sampai sekarang tiada sebarang perkembangan,” katanya.
Salim berkata, keadaan jambatan bergoyang teruk selain tiang konkrit patah menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setiap kali melaluinya.
“Kalau jambatan ini hanyut atau runtuh, kami terpaksa guna jalan lain sejauh lebih 20 kilometer dan ambil masa hampir sejam untuk ke kebun.
“Penduduk di sini cuma penoreh getah dan petani... kalau titi ini tidak boleh digunakan, terputus sumber rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, Salim turut menceritakan pengalaman hampir terjatuh ke sungai ketika melintas menggunakan motosikal untuk ke kebun.
“Mujur ada tali di tepi jambatan. Kalau tidak, ramai sudah terjatuh ke sungai. Papan lantai banyak reput, tali pun longgar dan setiap kali melintas memang takut,” katanya.
Salim berkata, apabila berlaku kerosakan, penduduk mengambil inisiatif mengadakan kutipan derma membaiki jambatan mengikut kemampuan.
“Kami buat gotong-royong, kutip derma penduduk... sekali kutip dapat lebih RM1,000. Kami tukar papan, ketatkan tali walaupun tahu ia hanya sementara.
“Harap-harap ada pihak prihatin dengan nasib kami,” katanya.