Dewan penuh, Town Hall Rakyat bersama Tok Wan dapat sambutan hangat rakyat Pahang

Iklan
Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran melebihi 1,000 orang.

KUANTAN – Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendapat sambutan hangat apabila Dewan Dato’ Seri Abdul Manan Ismail, tempat acara itu berlangsung penuh dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat pada Selasa.

Kehadiran yang melebihi sasaran awal 1,000 orang itu membuktikan minat rakyat untuk mengetahui perkembangan semasa dalam pelbagai aspek di negeri ini.

Iklan
Iklan

Wan Rosdy mengakui sangat berpuas hati dengan sambutan dan kehadiran orang ramai yang mengikuti program tersebut hingga selesai, sekali gus dapat menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai segala usaha dan perancangan yang telah serta akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, apa jua soalan, cadangan dan pandangan daripada orang ramai akan diteliti serta diambil kira.

Iklan

“Cuma ada juga cadangan dan pandangan yang dilontarkan di luar bidang kuasa kerajaan negeri, selain kekangan kerana melibatkan peruntukan besar.

“Yang penting, rakyat dapat menyuarakan pelbagai pandangan dan cadangan mereka secara langsung kepada saya sebagai Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Iklan

Wan Rosdy mengalu-alukan penganjuran program oleh Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) itu kerana beliau dapat bersemuka dengan rakyat, dan peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelaskan perkembangan semasa kerajaan negeri.

“Ini antara program turun padang kerajaan negeri bersama rakyat, dan saya fikir ia bukan yang terakhir. Mungkin akan diadakan lagi, sama ada bersama pihak Sinar Harian atau pihak lain. Jika ada jemputan, Insya-ALLAH,” ujarnya.

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berlangsung di Dewan Dato’ Seri Abdul Manan Ismail pada Selasa.

Sambutan luar jangkaan itu bukan sahaja diterjemahkan melalui kehadiran orang ramai di dewan, tetapi turut mengambil kira jumlah penonton secara langsung di platform Facebook Sinar Harian, Pahang Media dan laman rasmi Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya gembira kerana rakyat dapat mendengar semuanya daripada mulut saya sendiri, bukan daripada pihak lain yang lebih kepada persepsi dan sentimen,” katanya.

Sepanjang lebih satu jam setengah program berlangsung, para hadirin mengikuti dengan penuh minat setiap jawapan yang diberikan oleh Wan Rosdy terhadap soalan-soalan yang dilontarkan oleh hos, Azhar Sulaiman.

Antara topik utama yang disentuh termasuk Belanjawan Negeri 2026, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, perancangan infrastruktur serta pencapaian penting kerajaan negeri dalam memastikan kemajuan Pahang terus seimbang dan mampan.

Program yang berlangsung dengan lancar itu disifatkan sebagai bukti kejayaan pendekatan pentadbiran ‘mesra rakyat’ yang diamalkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy, atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Wan.

Dengan sambutan hangat dan penglibatan aktif masyarakat, Town Hall Rakyat kali ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif penganjurannya, malah memperkukuh lagi hubungan erat antara kerajaan negeri dan rakyat.