PKR persoal tiga kelemahan Belanjawan Terengganu 2026

Iklan
Aiman

KUALA TERENGGANU – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mempersoalkan tiga kelemahan utama dalam Belanjawan Terengganu 2026 yang didakwa masih gagal menjawab isu mendesak rakyat khususnya melibatkan ekonomi dan peluang pekerjaan golongan muda di negeri itu.

Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, walaupun belanjawan yang dibentangkan kerajaan negeri pada Isnin digambarkan sebagai berimbang dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, ia tidak menampilkan langkah berani yang benar-benar menyentuh keperluan sebenar rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persoalan pertama yang perlu dijawab kerajaan negeri adalah mengenai langkah menangani masalah penghijrahan anak muda atau 'brain drain' yang semakin membimbangkan apabila ramai golongan belia terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

"Keadaan ini mencerminkan kegagalan dasar ekonomi negeri yang tidak menyediakan cukup peluang pekerjaan.

Iklan

"Kami mencadangkan pelaksanaan Pelan Penempatan Bakat Terengganu yang memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menggaji anak negeri bagi memperluaskan peluang pekerjaan digital serta membina industri inovasi di Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, persoalan kedua melibatkan ketiadaan dasar menyeluruh dan jelas bagi memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) walaupun sektor itu menjadi tulang belakang kepada ekonomi negeri.

Iklan

"Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, PMKS sepatutnya menerima perhatian khusus seperti insentif digitalisasi, kemudahan pembiayaan, program inkubasi serta latihan keusahawanan belia. Namun, usaha untuk mengintegrasikan PMKS ke dalam ekosistem ekonomi negeri masih kabur dan tidak strategik," ujarnya.

Aiman berkata, persoalan ketiga berhubung ketiadaan laporan prestasi Exco negeri yang sepatutnya dibentangkan secara terbuka agar rakyat dapat menilai keberkesanan pentadbiran sejak 2023.

"Rakyat berhak mengetahui pencapaian sebenar setiap portfolio termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan pembangunan luar bandar. Tanpa penunjuk prestasi utama (KPI), belanjawan hanya kekal sebagai perancangan di atas kertas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Debat Ekonomi Terengganu diadakan secara terbuka antara Menteri Besar dan wakil MPN PKR Terengganu bagi membincangkan dasar ekonomi negeri secara ilmiah dan profesional.

"Belanjawan Terengganu 2026 perlu disemak semula dengan pendekatan yang lebih berani, terbuka dan berpaksikan hasil sebenar.

"Kerajaan negeri mesti menunjukkan prestasi, memperkasa PMKS dan menyelamatkan potensi belia daripada terus berhijrah keluar," ujarnya.