Elak guna laluan sementara jalan Felda Aring-Tasik Kenyir pada musim tengkujuh

Iklan
Pengguna disaran elak menggunakan laluan sementara jalan Felda Aring–Tasik Kenyir bagi mengelak risiko terutama pada musim tengkujuh.

KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan laluan sementara jalan Felda Aring–Tasik Kenyir bagi mengelak risiko terutama ketika musim tengkujuh.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, laluan tersebut hanya digunakan oleh pihak kontraktor terlibat bagi tujuan kerja harian dan bukan untuk kegunaan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, struktur jalan itu dikhuatiri tidak selamat untuk kegunaan kenderaan yang banyak pada satu-satu masa.

"Jalan itu dibina oleh sebuah syarikat bagi memudahkan urusan kerja mereka, tetapi ada juga orang awam yang menumpang lalu.

Iklan

"Jalan tersebut tidak selamat digunakan, terutama pada musim hujan kerana keadaan tanah yang licin dan berisiko.

"Saya harap pengguna jalan raya dapat elak daripada menggunakan laluan itu sehingga pembinaan jalan baharu siap sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada Persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut Hanafiah, kerja-kerja pembinaan jalan baharu di kawasan berkenaan telah dibuka untuk tender dan akan ditutup pada Rabu ini dengan anggaran kos sebanyak RM36 juta.

Beliau berkata, projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya itu melibatkan skop kerja pembinaan laluan sementara, kerja geoteknikal, pembinaan jambatan, jalan, longkang serta pemasangan perabot jalan.

"Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Februari 2026 sebelum kerja penilaian harga dibuat sekitar April hingga Mei. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka bermula sekitar Oktober tahun depan," jelasnya.

Tambah beliau, walaupun belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini setakat ini, pengguna diminta berwaspada dan tidak mengambil risiko menggunakan laluan tidak rasmi berkenaan.

"Kalau berlaku apa-apa insiden di laluan itu, ia menjadi tanggungjawab sendiri kerana bukan di bawah penyeliaan kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh, berikutan hujan lebat pada musim tengkujuh pada November tahun lalu.

Jalan tersebut dijangka ditutup lebih lama bagi proses pembaikan berikutan disebabkan runtuhan yang berlaku sepanjang 100 meter agak serius.