Isu pinjaman kenderaan MB, ADUN Terengganu dibentang esok

Iklan
Hanafiah bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU – Cadangan kenaikan jumlah pinjaman kenderaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kepada maksimum RM200,000 akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, perkara itu akan melalui proses pembentangan dan kelulusan di DUN terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

“Perkara itu masih dalam peringkat enakmen dan akan dibawa untuk dibaca serta dibahas di DUN,” katanya ketika ditemui pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Menurut beliau, cadangan tersebut bukanlah perkara baharu, malah skim pinjaman kenderaan untuk ADUN telah wujud sejak sekian lama.

Iklan

“Skim pinjaman ini turut dilaksanakan di negeri-negeri lain termasuk negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), bukan hanya melibatkan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Skim pinjaman ini juga telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 1981, kemudian dikemas kini pada tahun 1990 dan 1997 semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Iklan

“Sebelum ini, jumlah pinjaman yang diluluskan hanya sekitar RM41,000 hingga RM43,000. Namun, memandangkan nilai kenderaan dan kos semasa sudah jauh berubah, cadangan untuk menaikkan jumlah pinjaman kepada RM200,000 kini sedang diteliti.”

Menurut beliau, keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas enakmen berkenaan dibentangkan dan diluluskan di DUN.

“Isu yang tular menyebut kononnya kerajaan negeri telah meluluskan pinjaman kenderaan bernilai RM16 juta untuk semua ADUN tidak tepat kerana perkara itu masih dalam proses perundangan dan belum dikuatkuasakan.

“Kalau dikira pun, dengan 32 ADUN dan jumlah maksimum RM200,000 setiap seorang, nilainya hanya sekitar RM6.4 juta, bukan RM16 juta seperti yang disebut,” jelas beliau.

Sebelum ini, tular satu kenyataan yang memetik Kertas Dewan Undangan Negeri bertarikh 29 Oktober 2025 yang memaklumkan keputusan MMKN untuk meluluskan pinjaman kenderaan maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN bagi tempoh empat tahun.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan MMKN terdahulu pada 11 Julai 1990 dan 5 Mac 1997 dibatalkan berkuat kuasa dengan pelaksanaan enakmen baharu tersebut.