SUNGAI PETANI - Polis menahan 21 individu termasuk tujuh wanita warga asing di sebuah premis hiburan karaoke di Taman Petani Jaya di sini pada jam 11.30 malam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, turut ditahan seorang individu yang mengaku sebagai penjaga premis dan dua lagi pekerja di pusat hiburan berkenaan.
Menurutnya, pusat karaoke itu menjadi tumpuan warga asing dan dipercayai beroperasi secara haram.
“Walaupun pernah diserbu sebelum ini, namun premis itu dilihat masih degil beroperasi, menyebabkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melakukan serbuan sekali lagi selepas menerima maklumat.
“Tangkapan membabitkan seorang penjaga lelaki dan dua pekerja wanita, manakala selebihnya adalah pelanggan berusia antara 18 hingga 39 tahun, yang kesemuanya disyaki warga Myanmar,” katanya.
Hanyan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan di premis berkenaan yang digunakan untuk tujuan hiburan.
“Ada antara mereka mempunyai dokumen pengenalan diri dan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan.
“Sebahagian warga asing yang tiada dokumen disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997.