Judi online ancaman senyap generasi belia

Iklan
Judi online kini seakan menjadi mainan harian belia. Gambar hiasan

MERAK Jalanan nak kongsikan satu fenomena yang buat Merak Jalanan risau pun ada, garu kepala pun ada. Judi online kini seakan-akan menjadi mainan harian belia kita, berbeza dengan zaman Merak Jalanan dulu.

Dulu duduk kampung manalah ada kedai judi, kalau ada pun kena pergi ke bandar besar. Budak-budak masa itu susah hendak terdedah benda ini kerana internet pun belum popular.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan teringat dulu telefon hanya untuk hubungi mak ayah bukannya untuk pertaruhkan wang atau nasib. Sekarang? Judi hanya di hujung jari. Sentiasa ada di telefon.

Budak-budak sekarang boleh berjudi tanpa perlu keluar rumah, tanpa perlu jumpa manusia lain dan tanpa rasa bersalah.

Iklan

Merak Jalanan pelik, kita pandai cipta teknologi tetapi macam tak pandai nak cipta disiplin diri.

Judi online atau judi dalam talian ini bukan sekadar hiburan, ia perangkap halus yang boleh rosakkan masa depan.

Iklan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri mendapati jumlah belia yang terjebak agak tinggi.

Menterinya, Hannah Yeoh kata, perkara ini memang dalam perhatian kementerian dan dalam perbincangan KBS bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Cuma nak tanya, cukupkah perbincangan tanpa tindakan drastik?

Merak Jalanan suka apabila kerajaan ambil peduli, tetapi seharusnya semua pihak perlu serius. Jangan biar teknologi jadi senjata yang menghancurkan moral belia.

Merak Jalanan lihat dunia sekarang berubah terlalu cepat, tetapi akhlak dan disiplin kita masih ketinggalan. Kalau dulu budak-budak sukar nak berjudi sebab susah nak jumpa kedai, sekarang risiko itu datang terus ke tangan mereka.

Sudah sampai masanya kita buka mata, sebelum mainan digital ini jadi musuh sebenar generasi kita. Janganlah kita biarkan telefon jadi alat untuk hancurkan masa depan belia!