DUBAI – Mayat jutawan kripto Rusia, Roman Novak dan isterinya, Anna, ditemui dikerat kepada beberapa bahagian dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai, sebulan selepas mereka dilaporkan hilang di Emiriah Arab Bersatu.
Pasangan itu dilaporkan hilang pada awal Oktober selepas kehilangan hubungan selama beberapa hari. Mereka terakhir dilihat menuju ke sebuah tasik berhampiran resort pergunungan Hatta untuk menemui 'pelabur tidak dikenali'.
Menurut Svetlana Petrenko dari Jawatankuasa Siasatan Rusia, penyiasatan mendapati pembunuh mempunyai pengiring yang membantu merancang penculikan.
“Mereka menyewa kenderaan dan premis untuk menahan mangsa secara paksa. Selepas pembunuhan, suspek membuang senjata dan barangan peribadi mangsa di beberapa kawasan di Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
Suspek, semuanya warganegara Rusia, telah ditahan dan dijangka diekstradisi ke Saint Petersburg.
Telefon bimbit milik pasangan itu dikesan di Hatta dan Oman beberapa hari selepas mereka hilang, kemudian di Cape Town, Afrika Selatan, sebelum isyarat hilang sepenuhnya pada 4 Oktober. Bapa dan ibu tiri Anna dikatakan telah berangkat ke Dubai untuk menjaga cucu mereka yang masih di bawah umur.
Roman dan Anna terkenal mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial, termasuk kereta mewah, pesawat peribadi dan hubungan dengan tokoh ternama seperti Pavel Durov, pengasas Telegram.
Roman turut mempunyai rekod jenayah, termasuk sabitan penipuan pada 2020 dan dijatuhi hukuman enam tahun penjara. Pada masa dia hilang, dia sedang disiasat kerana disyaki menipu pelabur kripto lebih AS$499 juta (RM1.79 bilion), dengan mangsa termasuk ahli perniagaan dari China dan Timur Tengah.- Agensi