KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 (Akta 652) dan Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 (Akta 640) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin bagi bacaan kali pertama.
Menterinya, Steven Sim berkata, pindaan itu merupakan langkah penting untuk memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara selain memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi cabaran ekonomi berteraskan kemahiran dan teknologi masa depan.
“RUU pindaan Akta 652 yang dibentangkan bertujuan memperkemaskan persijilan kemahiran di Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.
“Teras utama pindaan ini termasuklah bagi menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dengan melibatkan kementerian strategik dan badan profesional supaya dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Steven menjelaskan, ia juga untuk mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Menurutnya, pindaan itu bakal menambah baik tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga kepada enam tahun selain memperkenalkan tatacara penggantungan dan pembatalan yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.
“Ia turut memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel sejajar dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan melalui pewujudan kategori baharu iaitu Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Steven memaklumkan, RUU pindaan Akta 640 pula bertujuan meluaskan skop pembiayaan PTPK dan antara teras utama pindaan termasuklah perluasan skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Terasnya juga dari segi pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus dan pengukuhan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan, termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar,” kongsi beliau.
Steven menambah, pindaan kepada kedua-dua akta tersebut membolehkan penyelarasan perundangan secara lebih seragam dan efisien dapat dilaksanakan.
Ujar beliau, langkah itu membolehkan PTPK memberikan pinjaman dan bantuan kewangan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk mereka yang mengikuti program latihan bukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tetapi mempunyai permintaan tinggi oleh industri.
Bacaan kedua dan ketiga pindaan akta-akta tersebut bakal dibentangkan oleh Steven dan dibahaskan di Parlimen pada bulan depan.
Melalui pindaan kepada kedua-dua akta terbabit, KESUMA yakin sistem pembangunan kemahiran negara akan menjadi lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi, selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan kemahiran, kebajikan serta keberhasilan rakyat.