JOHOR BAHRU — Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam Ops Selera di sekitar Taman Pelangi pada 9 November lalu selepas didapati melanggar syarat permit kerja dan pas lawatan ke negara ini.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, operasi yang bermula pada jam 7 petang itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.
"Operasi dibuat setelah menerima maklumat awam dan hasil risikan terhadap beberapa restoran di sekitar negeri yang dipercayai menggajikan pekerja warga asing secara haram.
“Secara keseluruhannya, operasi kali ini menumpukan kepada pemeriksaan dokumen pengenalan diri, permit kerja dan pas lawatan kerana dipercayai ada warga asing yang disyaki melanggar syarat yang telah ditetapkan," katanya.
Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 51 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.
Tambah Mohd Rusdi, hasil pemeriksaan terhadap 46 individu, seramai 29 warga asing terdiri seorang lelaki warga Bangladesh, empat lelaki (Indonesia), lapan lelaki (Myanmar), lima lelaki (Pakistan) dan dua lelaki (Filipina).
Selain itu turut ditahan, empat wanita warga Myanmar, seorang wanita (Indonesia) dan tiga lagi wanita (Filipina) atas pelbagai kesalahan imigresen.
Selain itu, seorang pembantu pengurus premis warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
Tiga individu lain turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Jabatan Imigresen Malaysia mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menggalakkan kerjasama berterusan dalam membanteras kesalahan melibatkan PATI, pemerdagangan orang serta penyeludupan migran ke negara ini.
“Selaras aspirasi kerajaan Madani, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan permit kerja dan memastikan keselamatan serta integriti negara sentiasa terpelihara,” katanya.