KUANTAN - Rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang dijemput hadir ke Program Town Hall Rakyat (THR) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) yang akan berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini malam esok.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, segala keperluan program telah disiapkan sepenuhnya.
"Semuanya telah bersedia, kini hanya menantikan kehadiran rakyat Pahang ke dewan ini malam esok,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, THR kali ini menyasarkan kehadiran sekitar 1,000 tetamu terdiri rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang.
"Kita mengalu-alukan kehadiran penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling penting, rakyat Pahang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk nelayan, petani, pelajar serta komuniti setempat.
"Semua dijemput datang kerana inilah peluang terbaik untuk kita rakyat Pahang menyuarakan pandangan dan hasrat terus kepada ‘Tok Wan' khususnya berkaitan Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang dijangka dibentangkan pada 5 Disember depan,” jelasnya.
Beliau menambah, program tersebut memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan cadangan dan pandangan secara terus kepada Menteri Besar sebelum pembentangan belanjawan.
Katanya, melalui program THR itu, kerajaan negeri khususnya Tok Wan sendiri dapat mendengar pandangan dan memahami keperluan serta harapan sebenar rakyat dengan lebih mendalam.
"Segala pandangan, cadangan dan teguran yang disuarakan rakyat nanti dapat diperhalusi supaya setiap peruntukkan benar-benar berfokus kepada pembangunan negeri serta kepentingan rakyat," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menggalakkan penyertaan dalam talian bagi mereka yang tidak berpeluang hadir.
"Kita jangkakan dewan berkapasiti 1,000 hingga 1,200 orang itu akan penuh dengan tempat duduk adalah terhad.
"Bagi rakyat dari daerah yang jauh atau tidak sempat hadir secara fizikal, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui platform Facebook Sinar Harian," katanya.
Khairul Anwar berkata, orang ramai boleh melayari live program itu di Facebok rasmi Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan Pahang Media.
"Penonton boleh mengemukakan soalan secara langsung di ruangan komen, dan pasukan bertugas akan cuba memilih beberapa soalan untuk dijawab dalam sesi tersebut.
"Datanglah beramai-ramai malam esok ke Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail atau ikuti siaran langsung di platform digital kerana suara anda penting dalam membentuk masa depan Pahang yang makmur dan sejahtera,” ujarnya.