KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan dua calon yang diumumkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada malam Ahad sebagai satu lagi keadaan yang mencerminkan dinamika politik di Sabah, berasaskan hak demokratik dan keterbukaan dalam kalangan parti-parti dalam kerajaan.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, keputusan dua Ketua Bahagian Gagasan Rakyat, Datuk Jamawi Jaafar dan George Hiew untuk menjadi calon PKR dibuat atas kehendak serta hak demokrasi masing-masing.
"Ya, mereka menjadi calon PKR. Ini bukan calon yang dipinjamkan, tetapi sudah tentu ia adalah hak demokrasi mereka. Jadi, mereka memilih untuk menjadi calon PKR dan secara kebetulan pula kita berada dalam kerajaan yang sama.
"Bagi saya, tidak mengapa. Itulah dinamika politik di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Hajiji menjelaskan, susulan pengumuman itu, status keahlian kedua-dua pemimpin berkenaan kini bertukar dan mereka bukan lagi ahli Gagasan Rakyat.
"Kami sudah pun melepaskan mereka. Apa lagi," katanya ringkas.
Ditanya sama ada parti itu menggalakkan tindakan berkenaan, Hajiji sekali lagi menegaskan keputusan tersebut dibuat atas hak individu dan tidak boleh dianggap sebagai dorongan daripada mana-mana pihak.
"Saya tidak boleh kata begitu sebab ini adalah hak demokrasi mereka. Jadi, tidak ada soal menggalakkan. Kita tidak boleh cakap begitu. Terpulang kepada mereka, dan perkara itu pun sudah berlaku, jadi biarlah," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Gagasan Rakyat tetap akan memberikan sokongan kepada calon-calon berkenaan kerana mereka bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) yang turut menjadi sebahagian daripada kerajaan.
"Sudah tentu kita akan sokong kerana mereka adalah calon PH,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan dalam Kabinet kerana tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan pusat berhubung isu 40 peratus hasil Sabah, Hajiji berkata beliau tidak berhasrat untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.
"Saya tidak boleh ulas mengenai perkara itu (tindakan Ewon). Kita sudah buat kenyataan. Kalau boleh, kita tidak mahu kerajaan pusat membuat rayuan. Itu sahaja buat masa ini.
"Kalau mereka mahu buat, buatlah," katanya.