KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.938 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus, termasuk caruman RM450 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan menerusi Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, belanjawan kali ini dirangka bagi menyesuaikan keperluan serta keutamaan semasa dengan matlamat jangka sederhana dan panjang dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal negeri, dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.
Menurutnya, sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar berjumlah RM323.8 juta atau 72 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan, manakala sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 20.6 peratus, berbanding hanya 4.4 peratus dalam Belanjawan 2025.
“Sektor pentadbiran pula menerima peruntukan sebanyak RM33.37 juta atau 7.4 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga komited meningkatkan hasil negeri kepada RM288.59 juta, iaitu RM85.36 juta daripada hasil cukai dan RM203.23 juta daripada hasil bukan cukai, selain RM1.709 bilion daripada terimaan bukan hasil, menjadikan keseluruhan hasil berjumlah RM1.998 bilion dengan lebihan tiga peratus.
Beliau berkata, sehingga 31 Oktober lalu, hasil negeri yang berjaya dijana berjumlah RM261.61 juta, bersamaan peratus daripada sasaran tahunan, termasuk hasil sumber air yang menunjukkan peningkatan RM16.62 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Perbelanjaan pula mencatat RM1.416 bilion, lebih rendah daripada jumlah keseluruhan hasil, sekali gus berjaya mengelakkan defisit fiskal dan mengekalkan kecekapan perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada tiga fokus utama, antaranya memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan dengan menumpukan kepada pengukuhan fiskal dan peningkatan kualiti penyampaian.
Ujarnya, fokus turut diberikan kepada penstrukturan daya tahan ekonomi dengan memacu pertumbuhan melalui pengukuhan ekosistem perniagaan, memperkasa industri pelancongan serta merancakkan pembangunan dan perumahan.
Beliau berkata, tumpuan terhadap melestarikan keperluan sosial juga diberikan bagi menjamin kesejahteraan inklusif melalui kestabilan akses makanan, pembangunan tenaga kerja tempatan, dan pembudayaan gaya hidup sihat serta sejahtera.
“Dengan membuka potensi sebenar negeri, saya yakin hasil janaan negeri boleh melepasi paras RM300 juta, manakala pertumbuhan ekonomi kekal mampan antara 3.4 hingga 4.2 peratus.
“Pada masa sama, Terengganu kekal di tangga teratas Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mencerminkan kesejahteraan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan fizikal, sosial, spiritual dan emosi,” katanya.