KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mahu pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri ini dibuat berdasarkan kajian lapangan yang teliti mengikut keperluan sebenar masyarakat tempatan termasuk cadangan menggali terusan tali air berbanding pembinaan benteng.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau juga sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, projek tebatan banjir yang dilaksanakan di negeri ini tidak seperti mana cadangan oleh masyarakat setempat.
“Bagi projek tebatan banjir ini, masyarakat setempat mencadangkan supaya digali terusan atau saliran air, tetapi apabila dilaksanakan, yang dibuat ialah benteng.
“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri supaya satu kajian teliti dibuat,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Rusli Abdullah (Pas-Wakaf Bharu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.
Projek tebatan banjir di Kelantan ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang melibatkan kawasan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
Projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa fasa dan Fasa 1 dijangka siap pada Julai tahun depan.
Mohd Nassuruddin berkata, beberapa pegawai di peringkat Persekutuan yang berasal dari Kelantan turut berpandangan sama berhubung bentuk pembinaan tebatan itu.
“Seolah-olah kajian tidak menyeluruh dan tidak turun ke bawah, sebab itu masalah banjir sukar diselesaikan,” katanya.
Beliau memberitahu, kajian dan penelitian semula juga perlu mengambil kira keadaan muka bumi dan laluan sungai di negeri ini.
“Kadang-kadang sungai itu sudah beralih tempat, muka bumi pun berubah.
“Kami juga serahkan isu kepada kepada pihak teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri Kelantan sentiasa mengamalkan semangat federalisme dengan mengekalkan hubungan baik bersama kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kedua-dua pihak sentiasa bincang secara baik melalui platform rasmi seperti Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri supaya pelaksanaan projek berjalan lancar dan tersusun,” katanya.