Panorama bunga matahari di Kelantan

Iklan
Idea menanam bunga itu tercetus selepas Nur Taufiq berkunjung ke Satun, Thailand pada awal tahun ini.

PASIR PUTEH – Kalau sebelum ini ramai sanggup merentas sempadan ke Satun, Thailand semata-mata mahu menikmati panorama bunga matahari, kini suasana itu boleh dirasai di bumi Kelantan sendiri.

Berlatar suasana hijau Jeram Mengaji, Selising di sini, kira-kira 3,000 pokok bunga matahari kini menceriakan sebuah kebun yang sedang dibangunkan sebagai tarikan agropelancongan baharu di negeri ini.

Iklan
Iklan

Lebih menarik, taman bunga matahari itu dipercayai antara yang terawal seumpamanya di Kelantan dan kini dibuka kepada orang ramai dengan bayaran masuk hanya RM3.

Pengurus Kebun Anggur, Tin, Matahari Jeram Mengaji, Nur Taufiq Yusuf berkata, idea menanam bunga itu tercetus selepas beliau berkunjung ke Satun pada awal tahun ini.

Iklan

Menurut beliau, pengalaman melihat tarikan bunga matahari di negara jiran itu memberi inspirasi kepadanya untuk mencuba sesuatu yang sama.

Nur Taufiq memberitahu, sebanyak 3,000 pokok bunga matahari ditanam membabitkan jenis dari Turkiye, Mongolia serta Sepanyol.

Iklan

Nur Taufiq menunjukkan sebahagian daripada 3,000 pokok bunga matahari yang diperolehi dari Turkiye, Mongolia serta Sepanyol.

Ujar beliau, pihaknya kini masih mengkaji kesesuaian setiap jenis berkenaan dengan keadaan cuaca di Kelantan, terutama kerana tanaman bunga matahari memerlukan cuaca panas.

"Ada pokok yang sudah berbunga dan ada juga yang belum. Kita masih dalam peringkat kajian untuk melihat jenis mana yang paling sesuai dengan cuaca di sini.

"Kalau menjadi, kita boleh kembangkan lagi tanaman ini pada masa akan datang," katanya.

Menurut Nur Taufiq, waktu paling cantik untuk datang ialah pada sebelah pagi dan petang ketika bunga sedang berkembang.

Tambah beliau, kewujudan taman tersebut bukan sekadar untuk memberi peluang kepada pengunjung bergambar, malah menjadi antara usaha untuk menarik lebih ramai orang datang ke kawasan Jeram Mengaji, Selising.

Taman bunga matahari berkenaan dipercayai antara yang terawal seumpamanya di Kelantan dan kini dibuka kepada orang ramai dengan bayaran masuk hanya RM3.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ujarnya, ia merupakan usaha serta dorongan yang diberikan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Dalam pada itu, Nur Taufiq memberitahu, untuk tanaman buah tin, mereka menjangkakan ia akan mengeluarkan hasil sekitar November, manakala anggur pula pada Mac atau April tahun depan.

"Antara jenis anggur yang ditanam ialah Jupiter, Dickson, Hellydiar dan Baiponor, selain beberapa jenis yang kita ambil dari Korea," katanya.

Ujar beliau, usaha membangunkan pelbagai tanaman itu diharap dapat menjadikan kebun itu sebagai lokasi yang bukan sahaja menarik untuk bergambar, tetapi turut memberi pengalaman kepada pengunjung melihat sendiri tanaman buah-buahan dan bunga yang mungkin jarang ditemui di Kelantan.