KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 150 wanita dilaporkan dirogol ketika cuba melarikan diri dari bandar El-Fasher di wilayah Darfur Utara, Sudan yang kini dilanda kekejaman dan keganasan etnik selepas kejatuhan bandar itu ke tangan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Menurut laporan Sudan Tribune, jurucakap Penyelaras Umum bagi Pelarian dan Orang Terbuang di Darfur, Adam Regal berkata, kumpulannya telah merekodkan lebih 150 mangsa rogol dan gangguan seksual dalam tempoh dua minggu terakhir.
Beliau mendakwa militan RSF memburu dan menahan orang awam di sepanjang laluan pelarian berhampiran kawasan Qarni, menyebabkan ribuan masih terperangkap dalam ketakutan dan trauma.
Selain jenayah seksual, Regal berkata, pihaknya turut merekodkan lebih 1,300 orang cedera akibat tembakan, lebih 1,210 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut, dan sekurang-kurangnya 700 warga emas kini dalam keadaan kesihatan kritikal.
Keganasan ini berlaku selepas El-Fasher jatuh pada 26 Oktober lalu kepada RSF, selepas dikepung selama lebih 500 hari.
Kejatuhan itu mencetuskan kekecohan besar-besaran, dengan lebih 81,000 penduduk melarikan diri dalam masa dua minggu, kebanyakannya berjalan kaki atau menaiki kereta keldai melalui laluan berbahaya untuk mencari perlindungan.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, berkata, beliau bimbang kekejaman berasaskan etnik, termasuk hukuman mati tanpa bicara dan rogol beramai-ramai, masih berlaku di dalam bandar.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap laporan pembunuhan dan rogol secara besar-besaran itu, serta mengesahkan siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Darfur sedang dijalankan.
Amnesty International sebelum ini menyifatkan tindakan RSF menggunakan keganasan seksual secara meluas sepanjang konflik 19 bulan itu sebagai strategi yang disengajakan untuk menakut-nakutkan dan memusnahkan komuniti, sekali gus memenuhi definisi jenayah terhadap kemanusiaan.
Bagi mereka yang berjaya melarikan diri, kebanyakan kini tiba di Tawila sebuah bandar kira-kira 60 kilometer barat El-Fasher yang sudah terlalu sesak dan kekurangan bekalan asas. Lebih 15,000 pelarian baru dilaporkan tiba dalam keadaan lemah dan cedera, menjadikan jumlah keseluruhan pelarian dalaman di Tawila kini melebihi sejuta orang.
Situasi kemanusiaan di kawasan itu kini berada di ambang kehancuran. Laporan antarabangsa sebelum ini mengisytiharkan El-Fasher dalam tahap kebuluran, manakala Tawila pula berisiko tinggi menyusul.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang berlarutan sejak hampir dua tahun lalu kini telah mencetuskan krisis perpindahan terbesar di dunia, dengan lebih 11.7 juta orang kehilangan tempat tinggal. - Agensi