Mangsa buli belanja RM3 juta jadi 'manusia tercantik dunia'

Iklan
Wajah Allen sebelum (kiri) dan selepas melakukan pembedahan plastik untuk mencantikan wajahnya di wilayah Kochi. - Agensi

TOKYO – Seorang lelaki dari selatan Jepun yang pernah dibuli kerana rupa parasnya sanggup membelanjakan lebih AS$650,000 (RM3.1 juta) bagi menjalani pembedahan plastik untuk mengubah penampilannya menjadi apa yang digelarnya sebagai “manusia tercantik di dunia”.

Allen, 33, dari wilayah Kochi, mendedahkan kepada media tempatan bahawa dia sering dihina ketika zaman persekolahan.

Iklan
Iklan

Rakan sekelasnya dikatakan sering membulinya ketika waktu rehat selain menulis nota ejekan dan malah mencucuk kepalanya menggunakan jarum kompas.

Akibat tekanan berterusan itu, Allen menjadi memberontak dan terlibat dalam aktiviti mencuri basikal serta motosikal sehingga ditahan di pusat tahanan juvana.

Iklan

Selepas dibebaskan pada usia 18 tahun, Allen membuat keputusan drastik untuk menjalani pembedahan kosmetik sebagai cara membuktikan kepada pembulinya bahawa mereka silap.

“Jika saya menjadi manusia tercantik di dunia, maka sayalah pemenang. Mereka yang pernah membuli saya akan menua, tetapi saya tidak,” katanya.

Iklan

Allen memulakan transformasi dengan pembedahan hidung, mulut dan mata, melibatkan kos sekitar 15 juta yen (RM475,000) sebelum berpindah ke Tokyo dan muncul dalam rancangan hiburan televisyen.

Media Jepun, Ameba, pernah menggelarnya sebagai “perintis kecantikan mutlak”.

Menjelang 2015, Allen mendedahkan sudah menjalani lebih 200 prosedur pembedahan dan sejak itu turut melakukan pembentukan semula badan termasuk di bahagian pinggul, kaki dan belakang menggunakan teknik seperti sedutan lemak serta terapi laser.

Malangnya, dia kini mengalami tekanan darah tinggi dan mempunyai deria sakit melampau sehinggkan perlu dibius seluruh badan jika perlu melakukan pembedahan ringan.

Allen mendakwa telah membelanjakan lebih 100 juta yen (RM3.1 juta) hasil tajaan daripada beberapa individu kaya yang membiayai kehidupannya sejak berusia 17 tahun.

Sebagai balasan, dia meneman mereka keluar makan, membeli-belah dan menghadiri majlis sosial.

Allen yang kini mempunyai lebih 335,000 pengikut di media sosial sering berkongsi gambar serta kehidupannya, selain pernah muncul dalam dua rancangan Fuji TV dan menjadi duta produk penjagaan kulit.

Namun, segelintir warganet mengkritik tindakannya yang dikatakan semata-mata untuk membalas dendam kepada rakan-rakannya.

“Jika anda ubah wajah hanya untuk membalas dendam terhadap pembuli, itu bukan kemenangan dan ia sebenarnya menyerah kalah.

“Pembedahan kosmetik penuh risiko. Keyakinan sebenar datang daripada kebijaksanaan, kebaikan dan ilmu, bukan kecantikan luaran," katanya warganet. - Agensi