Rama Duwaji guna seni lawan imperialis, penindasan Israel

Iklan
Mamdani, melambai bersama isterinya Rama Duwaji selepas menyampaikan ucapan pada majlis keputusan pilihan raya di Brooklyn Paramount, New York.-AFP

NEW YORK - Rama Duwaji kini melonjak sebagai figura baharu yang menarik perhatian dunia bukan hanya kerana statusnya sebagai isteri kepada Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, tetapi juga kerana keberaniannya menjadikan seni sebagai wadah perjuangan menentang penindasan dan kekerasan global.

Berusia 28 tahun, Duwaji lahir di Houston, Texas dan dibesarkan di New Jersey. Anak kepada pakar pediatrik terkenal, Dr Bariah Dardari, dan jurutera perisian Marwan Duwaji, beliau mendapat pendidikan seni di Universiti Commonwealth Virginia serta di Sekolah Seni Visual New York (SVA).

Iklan
Iklan

Di kota metropolitan itulah, Duwaji bertemu Mamdani melalui aplikasi Hinge pada 2021, sebelum mereka berkahwin pada Februari lalu.

Namun di sebalik imej elegan dan sopan, Duwaji dikenali sebagai seniman yang lantang. Lukisan dan animasinya sering mengangkat tema kemanusiaan serta kritikan terhadap dasar luar Amerika Syarikat, terutama dalam isu Palestin.

Iklan

Beliau secara terbuka menentang apa yang disebutnya sebagai 'imperialisme Amerika' dan 'jenayah perang Israel'.

Rama Duwaji mengkritik imperialisme Amerika melalui beberapa lukisan berani.- Agensi

Iklan

Dalam satu hantaran di Instagram pada Oktober lalu, Duwaji berkongsi gambar tokoh pro-Hamas, Saleh Al-Jafarawi, yang terbunuh di Gaza, dengan empat emoji hati patah serta hantaran 'Beloved Jafarawi'.

Tindakan itu mencetuskan kontroversi, namun bagi Duwaji, ekspresi seni dan pendirian moral tidak boleh dibisukan oleh tekanan politik.

"Sebagai artis, tugas saya ialah mencerminkan zaman.Setiap karya seni, walaupun bersifat peribadi, tetap merupakan reaksi terhadap dunia yang sedang kita hadapi,” katanya dalam temu bual bersama portal Yung.

Karya terkenalnya ialah lukisan bertajuk 'Not a Hunger Crisis', yang menggambarkan kanak-kanak Palestin dengan mangkuk kosong sebagai simbol kebuluran akibat sekatan.

Mamdani, bergandingan tangan dengan Duwaji selepas mengundi di Sekolah Seni Frank Sinatra, Queens, New York City.-AFP

Dalam satu lagi karya pada 2024, beliau memaparkan timbunan wang AS dengan tulisan 'Israeli war crimes', sementara Mamdani sendiri meninggalkan komen menyeru rakyat Amerika menghentikan dana yang disalurkan kepada entiti pro-Israel.

Selain isu Palestin, Duwaji turut mengetengahkan penderitaan rakyat Sudan dan Yemen melalui ilustrasi yang menggugah jiwa. Bagi beliau, kanvas bukan sekadar ruang ekspresi, tetapi senjata untuk menyuarakan kebenaran.

Walaupun jarang muncul dalam kempen suaminya, Duwaji dianggap berperanan penting dalam membina imej politik Mamdani sebagai Datuk Bandar berpaksikan keadilan sosial.

Di sebalik kelunakan suaranya, terserlah keberanian intelektual dan semangat kemanusiaan yang kuat.

Media antarabangsa seperti Vogue dan The New York Times memuji gaya serta karismanya, menyamakan Duwaji dengan ikon klasik Audrey Hepburn dan Puteri Diana.

Ketika menghadiri ucapan kemenangan suaminya di Brooklyn, beliau tampil menawan dalam rekaan pereka Palestin Zeid Hijazi, seolah-olah menjelmakan gabungan seni, budaya dan identiti politik dalam satu imej.

“Seni saya adalah cerminan dunia di sekeliling saya. Sebagai warga Amerika, saya mempunyai tanggungjawab untuk bersuara tentang apa yang berlaku di Palestin dan Syria,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Kini, ketika Mamdani bersedia mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York, Rama Duwaji dilihat bakal mencipta peranan baharu sebagai Wanitq Pertama yang bukan sekadar berdiri di sisi, tetapi berdiri teguh sebagai suara nurani melawan penindasan melalui kuasa seni dan kemanusiaan.-Agensi