BANGKOK – Seorang ahli politik di Thailand berjanji untuk membina empat taman tema berkonsepkan ‘Jurassic Park’ sekiranya menang dalam pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada 8 Februari depan.
Menurut laporan portal mustsharenews, calon Parti Alternatif Baharu, Mongkolkit Suksintharanon, 44, merancang membina sekurang-kurangnya sebuah taman berkenaan di setiap empat wilayah utama negara itu jika diberi mandat oleh pengundi.
Menurutnya, projek tersebut bertujuan memelihara baki dinosaur selain berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menambah baik konsep taman berkenaan termasuk menaik taraf dinosaur dan menjadikannya lebih besar sebagai daya tarikan utama.
Pengumuman mengenai rancangan tersebut dibuat menerusi satu hantaran di Facebook pada 30 Januari lalu yang meraih lebih 13,000 tanda suka serta pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Menurut laporan media tempatan, ini bukan kali pertama ahli politik itu mengemukakan janji yang dianggap luar biasa menjelang pilihan raya.
Sebelum ini, beliau turut mencadangkan rangka kerja perkahwinan dengan makhluk luar angkasa yang didakwa bergantung kepada undang-undang setiap planet.
Cadangan tersebut berpotensi membolehkan lelaki mempunyai isteri di setiap planet selain mencerminkan kepercayaannya terhadap kewujudan makhluk asing.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk membangunkan program angkasa Thailand termasuk membina pusat beli-belah Thailand di planet lain.
Menjelang pilihan raya di Thailand, Mongkolkit dilihat antara beberapa ahli politik yang tampil dengan pelbagai tawaran unik dan luar kebiasaan dalam usaha meraih sokongan pengundi jika dipilih.