KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan lapan pengikut kumpulan 'Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi' termasuk ketuanya bergelar 'Ayahanda' kerana dipercayai terbabit ajaran sesat.
Kumpulan terbabit termasuk seorang wanita berusia 45 hingga 66 tahun ditahan hasil serbuan ke atas bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut, jam 2.30 petang Jumaat lalu.
Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, susulan penahanan itu, pihaknya menemui dan merampas pelbagai dokumen bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurutnya, turut dirampas pelbagai alatan dipercayai berunsur kurafat antaranya tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam, batu berlilit kain kuning, pelekat tertera 'solat jamak fardu seumur hidup', nota bertulis lafaz selawat beserta ikrar meragukan dan sebuah komputer riba.
"Hasil siasatan awal, ketua kumpulan terbabit berusia 45 tahun berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut yang bekerja sendiri itu dipercayai menyewa premis bekas gudang perabot diubah suai sebagai tempat tinggal bersama empat anaknya berusia lapan hingga 15 tahun.
"Tujuh pengikutnya terdiri mereka yang bekerja sendiri dan pengganggur kebanyakan berasal dari luar Pahang turut tinggal di premis itu," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Ahmad Khirrizal berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bila kegiatan itu wujud selain mengesan individu lain yang terbabit dengan kumpulan itu.
Jelas beliau, ketua dan ahli kumpulan terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
"Semua suspek telah dibebaskan pada Sabtu dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan," ujarnya.
Sementara itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan ini diminta tampil membantu siasatan.