'Saya Perdana Menteri paling banyak datang ke Sabah' - Anwar

Iklan
Anwar ketika hadir pada Program Rancakkan Madani di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kehadirannya yang kerap ke Sabah bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan suara rakyat negeri itu didengari secara terus oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sejak tiga tahun menerajui pentadbiran, beliau merupakan Perdana Menteri yang paling banyak menjejakkan kaki ke Sabah kerana mahu memahami keperluan sebenar rakyat serta cabaran pembangunan di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

“Dalam tempoh tiga tahun, saya Perdana Menteri yang paling banyak kali datang ke Sabah.

“Ada saya minta balak? Tidak ada. Saya minta kontrak? Tidak ada. Saya minta projek? Tidak ada. Saya hanya datang untuk dengar dan bantu rakyat Sabah, itu tujuan saya,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Iklan

Dalam ucapannya, beliau sempat berseloroh ketika menyentuh mengenai kejujuran dan keikhlasan dalam memimpin, sambil menegaskan beliau tidak mencari imbuhan peribadi mahupun kekayaan melalui kedudukannya.

“Isteri pun tidak, cukup satu, Azizah di hatiku,” katanya merujuk kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Iklan

Tambah beliau, hubungannya dengan kepimpinan Sabah juga berada dalam keadaan baik.

“Kita ada hubungan yang baik dengan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji. Untuk apa? Tanya dia.

“Saya pernah menjadi Menteri Kewangan belas tahun dahulu, sebelum masuk penjara. Sekarang saya Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa segala keputusan kerajaan Persekutuan di bawah pentadbirannya tidak dibuat atas dasar sentimen kenegerian, sebaliknya berpaksikan keperluan rakyat dan prinsip keadilan untuk semua.

Katanya, walaupun beliau berasal dari Pulau Pinang, keutamaannya sebagai Perdana Menteri adalah memastikan Sabah yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya anak Pulau Pinang. Kalau ikut sentimen, saya mahu bagi Pulau Pinang semua. Tapi tidak, saya Perdana Menteri Malaysia.

“Yang miskin ramai di Sabah, jalan berlubang di Sabah, sekolah daif di Sabah. Bantu mereka,” katanya.