PASIR MAS -"Tak sangka suami yang berkerja sebagai pemandu lori meninggalkan pencen untuk saya dan anak-anak."
Demikian luahan Hasliza Hasbullah, 51, isteri kepada Allahyarham Salmi Awang, pemandu lori pembancuh simen yang maut akibat serangan jantung sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh beberapa kereta serta tiang lampu di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 22 Oktober lalu.
Ibu kepada enam orang anak berusia 27 hingga sembilan tahun itu berkata, semasa menerima panggilan daripada pihak hospital mengenai kehilangan suami memberi tamparan hebat seolah-olah dunianya menjadi gelap.
Menurut tukang jahit itu, dia terfikirkan nasib empat lagi anak-anak masih bersekolah serta bayaran bulanan Rumah Mesra Rakyat yang perlu dilunaskan.
Ujarnya, pemergian suaminya sangat mengejutkan kerana arwah tidak menghidap penyakit jantung serta pada hari kejadian keadaannya sihat.
"Duit pencen penakat PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sebanyak RM1,500.42 sebulan ini akan digunakan khusus untuk persekolahan anak-anak.
"Selebihnya saya akan cuba usahakan dengan mengambil upah menjahit. Jumlah yang diberikan PERKESO itu sudah cukup untuk anak-anak dan dapat meringankan beban saya selepas suami sudah tiada," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Nibong Lemal di sini pada Ahad.
Sebelum itu Hasliza menerima kunjungan daripada Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob yang turut menyampaikan bayaran Faedah Pengurus Mayat (FPM) RM3,000 dan serta bantuan makanan.
Menurutnya, dia dapat menarik nafas lega apabila dimaklumkan pencen ini akan diterima sepanjang hayat manakala anak-anak sehingga mereka mencapai usia 21 tahun.
"Alhamdulillah, terima kasih PERKESO dan sampai sekarang walaupun masih terkejut dengan pemergian suami namun saya reda serta perlu meneruskan hidup demi anak-anak," katanya.