Perak padam defisit RM81.8 juta, catat hasil RM1.1 bilion

Iklan
Saarani menyampaikan sembah ucapan dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-69 Sultan Perak di Istana Iskandariah pada Ahad.

KUALA KANGSAR - Kerajaan Perak berada di landasan kukuh untuk memadam defisit RM81.8 juta yang diunjurkan dalam Belanjawan 2025, apabila berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM1.1 bilion setakat 7 November lalu.

Pencapaian itu sekali gus menandakan Perak berpotensi merekodkan lebihan bajet (surplus) empat tahun berturut-turut, hasil tadbir urus fiskal berhemah serta strategi ekonomi mampan yang diterapkan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, situasi kewangan yang semakin kukuh ini mencerminkan kecekapan pentadbiran di bawah pemerintahan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang sentiasa menekankan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam pengurusan hasil negeri.

"Kedudukan kewangan negeri semakin mengukuh dan Kerajaan Tuanku sedang belayar di haluan yang betul untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-69 Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Iklan

Saarani berkata, kekuatan itu turut didorong pertumbuhan ekonomi negeri yang memberangsangkan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada 2.7 peratus pada 2023 kepada 4.4 peratus pada 2024, menjadikan nilai ekonomi negeri melonjak kepada RM86.2 bilion, berbanding RM82.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, pertumbuhan itu disumbang oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing mewakili 63.3 dan 19.4 peratus, diikuti pertanian (14 peratus), pembinaan (2.6 peratus) dan perlombongan (0.6 peratus).

Iklan

"Angka ini jelas menunjukkan ekonomi negeri tetap teguh, tidak goyah dek ombak dan tidak rebah ddk badai walaupun dunia sedang berdepan surut dagang tidak menentu," katanya.

Dalam pada itu, nilai pelaburan baharu di Perak meningkat kepada RM6.25 bilion sehingga Jun 2025 melibatkan 203 projek, berpotensi mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Saarani berkata, nilai itu menunjukkan peningkatan 105 peratus dari segi pelaburan dan 224 peratus dari segi peluang pekerjaan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Maka teranglah bahawa para pelabur menaruh yakin kepada ekosistem pelaburan negeri yang kian tegap, ibarat sauh berpaut kukuh di dasar samudera, tetap teguh meski digoncang badai," katanya.

Menjelang pembentangan Bajet Negeri Perak 2026 hujung bulan ini, beliau berkata kerajaan akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri melalui kesinambungan projek berimpak tinggi seperti peluasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan pengembangan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Katanya, turut diberi tumpuan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh yang kini dalam fasa penambahbaikan kemudahan kargo dan penerbangan serta pemuliharaan Tapak Warisan Dunia Lenggong bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Mewakili sekalian warga pentadbiran, patik dengan penuh takzim menjunjung kasih atas segala titah bicara, limpahan hikmah, dan mutiara pemikiran Tuanku yang senantiasa menyalakan suluh ilmu dan mengerdipkan pedoman buat patik sekalian dalam melunaskan amanah membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya.