Menang Piala Dunia bukan impian saya- Ronaldo

Iklan
RONALDO

BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa memenangi Piala Dunia bukan lagi impiannya.

Malah kejayaan dalam satu kejohanan tidak sepatutnya dijadikan ukuran untuk menilai legasinya dalam dunia bola sepak.

Iklan
Iklan

Pemain berusia 40 tahun itu berkata, pencapaiannya sepanjang karier sudah cukup untuk meletakkan namanya dalam sejarah sukan tersebut, walaupun belum pernah menjulang trofi paling berprestij itu.

“Kalau anda tanya saya, ‘Cristiano, adakah impian anda untuk memenangi Piala Dunia?’ Tidak, itu bukan impian saya.

Iklan

“Memenangi Piala Dunia tidak akan mengubah nama saya dalam sejarah bola sepak, saya tidak akan menipu.

"Apa yang penting bagi saya ialah menikmati setiap detik kerana itulah perkara paling berharga yang kita ada. Kami masih belum layak pun. Jadi, nikmati sahaja momen itu,” kata Ronaldo dalam bahagian kedua temu bualnya bersama Piers Morgan.

Iklan

Legenda Real Madrid itu sudah memiliki hampir semua kejuaraan utama dalam kariernya termasuk lima trofi Ballon d’Or, lima kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Eropah (Euro 2016). Namun, trofi Piala Dunia masih belum menjadi miliknya.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026, Portugal kendalian Roberto Martínez bermula garang dengan kemenangan ke atas Armenia, Hungary dan Republik Ireland serta satu keputusan seri. Ronaldo menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, kapten Al Nassr itu tetap berpendirian bahawa sama ada menang atau tidak di pentas Piala Dunia, ia tidak akan mengubah legasi yang telah dibinanya bersama Portugal.

“Kami sudah menang tiga kejuaraan bersama Portugal. Sebelum ini, Portugal tidak pernah menang apa-apa,” tegasnya.

Selain Euro 2016, Ronaldo turut membantu Portugal memenangi Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025. Beliau kini memegang rekod dunia dengan 143 gol daripada 225 penampilan antarabangsa.

“Portugal tidak pernah menang Piala Dunia, tetapi kami akan berjuang untuk itu. Namun untuk menilai saya pada usia 40 atau 41 tahun hanya berdasarkan satu kejohanan enam atau tujuh perlawanan, adakah itu adil? Tidak adil,” katanya.