KEMBOJA (BANTEAY MEANCHEY) – Seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas dipercayai mengalami keracunan makanan akibat memakan telur cicak tokek yang dipanggang di rumahnya.
Mangsa dikenali sebagai Khut Ratana dari kampung Russey Krak ditemui tidak bernyawa di bawah rumahnya sekitar jam 8.10 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lalu.
Menurut Polis Daerah Mongkol Borei, siasatan awal mendapati mangsa telah memakan telur cicak beracun sebelum meninggal dunia.
Dua kanak-kanak tempatan berusia 10 tahun, Chum Chrip dan Win Soklin, memberitahu polis bahawa mereka melihat Ratana minum arak bersendirian di bawah rumah pada petang Selasa sebelum tiba-tiba seekor cicak melompat berhampirannya.
“Mangsa kemudian menangkap cicak itu, menyiangnya dan memanggangnya sebelum memakan daging serta telur haiwan berkenaan,” lapor Khmer Times.
Walaupun sudah dinasihati oleh kanak-kanak itu supaya tidak memakan telur cicak kerana dikhuatiri beracun, Ratana mengabaikan amaran tersebut dan meneruskan tindakannya.
Keesokan paginya, ibu kepada kanak-kanak berkenaan menyedari Ratana terbaring tidak bergerak di bawah buaian sebelum mendapati dia telah meninggal dunia lalu memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat keracunan makanan.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk upacara pengebumian mengikut adat tempatan. - Agensi