MUAR – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran membabitkan warga Myanmar hasil satu serbuan menerusi Op Pintas di sebuah rumah tumpangan di Jalan Bukit Bakri, Bakri di sini pada awal pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, dalam operasi berkenaan, seramai 15 individu warga Myanmar melibatkan 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 39 tahun turut ditahan.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki dikenal pasti sebagai transporter manakala tiga individu lain bertindak sebagai ejen serta penjaga rumah penampungan.
"Baki 11 individu pula merupakan migran yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua migran terbabit dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan selatan tanah air sebelum dibawa ke Muar sebagai lokasi transit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Raiz Mukhliz, turut dirampas dalam serbuan itu ialah beberapa peralatan komunikasi, sejumlah wang tunai serta sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipercayai digunakan untuk membawa migran ke rumah penampungan berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
"Empat suspek utama telah ditahan reman selama 28 hari mulai hari ini (Sabtu), di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala selebihnya direman 14 hari di bawah Akta Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
“PDRM Muar akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang sebarang bentuk penyeludupan migran dan kegiatan pemerdagangan orang.
"Kerjasama masyarakat amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan jenayah seumpama ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya