KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menegaskan keperluan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (PSB) bagi membolehkan usaha pembangunan semula kawasan lama di negeri ini dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan terancang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, akta tersebut penting bagi menangani isu kemerosotan infrastruktur dan penurunan nilai hartanah di kawasan yang semakin menua, selain memastikan pembangunan semula dapat dilakukan tanpa menjejaskan kepentingan penduduk sedia ada.
“Akta ini mampu menyelesaikan pelbagai isu pembangunan di kawasan lama. Namun, jika ia terus dibantah secara total tanpa pertimbangan rasional, ia tidak akan membawa manfaat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor di Dataran Malawati di sini pada Sabtu.
Amirudin berkata, terdapat banyak kawasan seperti Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, PJ Old Town, serta kawasan perumahan lama di Kajang, Gombak dan Ampang yang memerlukan pembangunan semula.
Menurutnya, cabaran menangani isu bandar menua kini menjadi fokus utama kerajaan negeri bagi memastikan kawasan terbabit kekal berdaya saing dan seiring dengan keperluan pembangunan semasa.
“Cabaran kita sekarang ialah berapa banyak bandar lama ini boleh direjuvenasi supaya kekal berdaya saing.
“Tema sambutan kali ini amat bertepatan dengan situasi yang sedang kita hadapi,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah membentangkan lima dokumen penting termasuk Rancangan Sempadan Kampung yang dibangunkan oleh PLANMalaysia, Rancangan Struktur Negeri Selangor serta pelan pengubahan bagi beberapa kawasan.
Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) utama turut dikenal pasti dalam pelan berkenaan iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), yang kini melalui penilaian di bawah program MurniNet bagi penarafan PBT Pintar.
“Sebahagian besar PBT di Selangor telah mencapai Tahap Satu hingga Tiga dalam MurniNet, namun negeri ini masih belum mencapai status Smart State sepenuhnya kerana penilaian di beberapa PBT belum selesai,” katanya.