Majlis Media Malaysia mampu perkukuh integriti dan profesionalisme media - SPRM

Iklan
Penubuhan Majlis Media Malaysia secara langsung memastikan integriti dan akauntabiliti industri media sentiasa berada pada tahap sewajarnya. Foto hiasan

PUTRAJAYA – Majlis Media Malaysia (MMM) mampu meningkatkan tahap profesionalisme serta kualiti pelaporan media di negara ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, penubuhan Majlis Media Malaysia secara langsung memastikan integriti dan akauntabiliti industri media sentiasa berada pada tahap sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Majlis Media Malaysia berperanan penting dalam memperkukuh ekosistem media tempatan agar kekal bebas, bertanggungjawab dan beretika.

"SPRM melihat Majlis Media Malaysia mampu meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti pelaporan media serta memastikan integriti serta akauntabiliti media sentiasa berada pada tahap yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama Majlis Media Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, hubungan baik antara pihak media dan SPRM yang telah lama terjalin akan terus diperkukuh melalui kewujudan majlis tersebut.

Iklan

"SPRM juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Media Malaysia demi memastikan bidang media dan komunikasi di negara ini terus berkembang secara beretika dan bertanggungjawab.

"Majlis Media Malaysia berpotensi menjadi platform penting dalam memberi khidmat nasihat kepada pemain industri media, terutamanya dalam memastikan laporan yang disiarkan bersifat adil, tepat dan berimbang," katanya.

Menurutnya, SPRM berharap majlis ini dapat membantu masyarakat mendapatkan sumber berita yang sahih dan tidak diragui.

"SPRM turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkasa media sebagai rakan strategik dalam memelihara integriti dan ketelusan negara.

"SPRM dalam masa sama merakamkan ucapan tahniah kepada semua ahli Lembaga Majlis Media Malaysia yang dilantik, sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah positif dalam memperkukuh landskap media negara," katanya.

Terdahulu, seramai 12 ahli berdaftar dilantik menerajui Majlis Media Malaysia (MMM) setelah dipilih sebulat suara menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Jumaat.

MMM membariskan tiga kategori utama iaitu Syarikat Media (A) merangkumi pertubuhan diikuti Pengamal Media dan Pengamal Media Bebas (B) manakala Orang Awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam kategori (C).

Sebaik diberi mandat, 12 individu terlibat boleh melantik enam lagi ahli menerusi mesyuarat bagi memastikan perwakilan daripada agensi media memiliki diversiti dari segi jantina, kawasan, bahasa dan lain-lain.

Empat usul dibentangkan antara lain menyentuh tentang ketetapan kadar yuran keahlian dan prosedur perjalanan mesyuarat, perbelanjaan daripada Kumpulan Wang MMM, dasar dan prosedur operasi standard (SOP) serta Kod Tatalaku Ahli Majlis dan mekanisme ketidakpuasan hati.