LANGKAWI - Seorang peniaga tudung maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak seekor lembu yang melintas jalan dalam kejadian di Jalan Ulu Melaka di sini pada malam Jumaat.
Mangsa, Siti Sarah Hana Mohamad Subri, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut kira-kira jam 11.40 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Ulu Melaka menghala ke Ayer Hangat sebelum hilang kawalan dan terbabas apabila cuba mengelak lembu yang melintas dari bahu jalan sebelah kiri ke kanan.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala. Mangsa memakai topi keledar ketika kejadian dan jenazah telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa berasal dari Kampung Seberang Terus, Kota Kuala Muda dan memiliki lesen memandu sah sehingga Januari 2026.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.