DALAM kenyataan media bertarikh 6 November 2025, Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Penerangan Pas, menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memantau dengan dekat dan serius perkembangan berkaitan The Malaysia–US Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang kini menjadi isu panas serta menerima tentangan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk golongan cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
Beliau menyatakan bahawa Pas tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah penting bagi memastikan tindakan yang disifatkan sebagai penggadaian kedaulatan negara melalui perjanjian ART dapat dihentikan.
Antara langkah yang disebut oleh beliau termasuklah memfailkan semakan kehakiman (judicial review) bagi mencabar kesahihan ART dari segi undang-undang; mengadakan forum nasional yang menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar secara ilmiah serta mendalam implikasi sebenar perjanjian tersebut; dan seterusnya menggerakkan Himpunan Mega “Turun Anwar 2.0” sebagai wadah suara rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Suara undang-undang:"Ini perjanjian penjajahan"
Sebenarnya bukan hanya Pas yang bersuara, bahkan tokoh-tokoh undang-undang terkemuka tanah air turut bangkit menentang ART.
Peguam terkenal, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang merupakan mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menyifatkan bahawa ART adalah ancaman jelas terhadap kebebasan ekonomi Malaysia. Katanya secara terus-terang, “Perjanjian ini terang-terangan menggugat kedaulatan kita! Nak pusing apa lagi?”
Bagi seorang lagi peguam tersohor, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang merupakan penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), perjanjian ART ini menyentuh teras perlembagaan dan hak bangsa.
Beliau menegaskan bahawa, “Perjanjian ini akan memberi kesan kepada hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Tambahnya lagi, ART ini turut “memberi kesan terhadap hak warga negara dan kedaulatan” serta “akan menyebabkan Malaysia kehilangan kebebasan untuk menyelenggara ekonomi sendiri.”
Peguam Datuk Shamsuddin Nawawi pula tampil menyindir kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, yang “telah menyebabkan kesipuan kepada kerajaan madani” kerana mengakui “kitamenandatangani perjanjian dan perjanjian ini adalah yang telah dirunding secara baik, yang terbaik oleh pegawai-pegawai kita."
Menurut beliau, “Kalau tandatangan sesuatu perjanjian dalam keadaan dipaksa, itu membuktikan ada undue influence. Tapi dalam ayat yang sama dia kata itu adalah perjanjian terbaik. Tak boleh saya cari perkataan yang sesuai untuk puji dia ini. Kecerdikan sangat terlampau.”
Paling memberi kesan pastilah suara beberapa hakim kanan yang dinyatakan oleh Tunku Zain Al-‘Abidin, Presiden Pengasas IDEAS yang juga merupakan putera Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, yang menyuarakan kebimbangan terhadap peruntukan dalam ART.
Beliau menulis, “Dalam pertemuan singkat dengan beberapa hakim kanan, muncul pandangan bahawa beberapa peruntukan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat dan Malaysia mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan — jika benar, kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik perjanjian perdagangan.”
Suara akademik:"Kedaulatan diperdagangkan"
Golongan akademik dan pakar ekonomi turut menolak ART dengan alasan kukuh. Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), menjelaskan bahawa di sebalik penggunaan istilah “timbal balik”, perjanjian tersebut sebenarnya mendedahkan empat bentuk penyimpangan utama daripada prinsip perdagangan adil.
Beliau menerangkan bahawa perjanjian ini menunjukkan komitmen Malaysia yang tidak seimbang dan akses pasaran yang berat sebelah, kerana Malaysia dipaksa untuk membeli jumlah barangan Amerika Syarikat yang telah ditetapkan — khususnya LNG dan barangan pertahanan — yang akhirnya memberi manfaat hanya kepada AS.
Sebaliknya, AS tidak memberikan jaminan akses setara terhadap eksport, perkhidmatan, atau pelaburan Malaysia dalam pasaran mereka yang sangat dikawal. Beliau menegaskan: “Kewajipan pembelian besar-besaran oleh Malaysia boleh mengekang ruang dasar fiskal dan industri Malaysia.”
Pandangan sama turut dikongsi oleh Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA–UKM), yang melihat perjanjian ini sebagai berat sebelah.
Katanya, perjanjian ini tidak seimbang kerana Malaysia memberikan lebih banyak konsesi berbanding pihak satu lagi: “I view this pact as very monopsony-like, i.e. a small nation dealing with super huge buyer. Also less reciprocal, as there’s more givings by Malaysia than the other party.”
Lebih lantang lagi, Dr. Muhammed A. Khalid menulis bahawa ART bukan sahaja bertentangan dengan dasar luar berkecuali Malaysia, tetapi merupakan satu bentuk penyerahan kuasa ekonomi dan dasar negara kepada hegemon luar.
Beliau menulis: “Perjanjian ini bukan sahaja bertentangan dengan dasar luar negara yang tidak berkecuali, malah ia adalah satu penyerahan besar autonomi dasar negara kita demi konsesi yang sangat minimal… Tiada perdana menteri atau menteri perdagangan yang lepas sejak merdeka, dari mana-mana parti, pernah melutut dan memohon kebenaran untuk membuat dasar sendiri daripada negara asing, menyerahkan hak untuk memerintah sendiri, atau dengan sukarela membiarkan tanah merdeka yang ekonominya dijajah kuasa asing. Ini bukan perjanjian perdagangan, ia adalah penyerahan kepada sebuah hegemon…”
Tambah beliau: “Jelas, perjanjian ini menggadai kedaulatan pada harga yang sangat murah. Persoalannya, mengapa dengan mudah menyerah diri? Adakah ada musuh dalam selimut dalam kalangan kita?”
Kritikan antarabangsa:"Malaysia jadi budak Amerika?"
Kritikan terhadap ART turut bergema di peringkat antarabangsa. Akhbar perniagaan terkenal Financial Times menerbitkan laporan bertajuk “The US can’t force Asian countries into its trade camp”, yang menegaskan bahawa perjanjian perdagangan Malaysia–AS ini lebih menyerupai paksaan rasmi.
Laporan itu menyimpulkan bahawa, jika ditafsir secara literal, kandungan perjanjian ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara hamba (vassal state) kepada Amerika Syarikat.
Sementara itu, Bloomberg Economics’ Tamara Henderson dan Adam Farrar menulis dalam analisis mereka bahawa ART merupakan perjanjian “one-sided” atau berat sebelah.
Mereka menyatakan: “The one-sided deals carry clear costs and vague benefits for Southeast Asia. The agreements seem set to roll back tariffs and regulations on US goods coming into Southeast Asia – a threat to domestic industry already feeling the squeeze from broad US trade tariffs.”
Diplomat veteran Singapura, Bilahari Kausikan, pula meluahkan rasa terkejut dengan sikap Malaysia. Katanya, beliau “terkejut” apabila mendapati Malaysia bersetuju dengan beberapa klausa yang seolah-olah memberikan Washington kuasa veto terhadap dasar perdagangan Malaysia dan berpotensi mengekang dasar bumiputera.
Ujarnya: “Saya terkejut bahawa Malaysia bersetuju dengan beberapa klausa yang seolah-olah memberi AS kuasa veto terhadap dasar perdagangan Malaysia dan boleh ditafsir sebagai mengekang dasar bumiputra.”
Lebih lantang, pempengaruh Indonesia Bennix dalam video yang bertajuk “0% TARIF Tapi Hilang MARUAH! Malaysia Kini Jadi BUDAK Amerika?!”, yang telah ditonton lebih 360,948 kali dan menerima hampir 10,000 komen, menyindir kepimpinan Malaysia dengan berkata: “MALAYSIA DAPAT TARIF 0% Tapi Jadi BUDAK AMERIKA?! Perjanjian Paling MEMALUKAN di ASEAN!”.
Ujar beliau: “Di sebalik janji manis tarif 0% yang kononnya menguntungkan Malaysia, tersembunyi 49 arahan dari Washington yang WAJIB dipatuhi oleh kerajaan Malaysia! Malaysia kini perlu lapor kepada Amerika sebelum berdagang dengan mana-mana negara yang dianggap ‘musuh’ oleh mereka. Adakah ini tanda Malaysia telah kehilangan maruah dan kedaulatan ekonomi?”
Pemimpin politik:"Tolak di Parlimen - Ini penjajahan!"
Antara pemimpin paling lantang mengecam ART ialah mantan menteri, mantan Yang Dipertua Dewan Negara dan peguam ,Tan Sri Dr Rais Yatim, yang menyifatkan perjanjian ini sebagai malapetaka diplomatik terbesar buat Malaysia.
Beliau berkata: “Fasal 5.1 ART merosakkan sentraliti ASEAN. merosakkan dasar luar Malaysia yang berasaskan ZOPFAN, Zon Keamanan, Persahabatan dan Neutraliti. Jika Amerika bertindak atas apa-apa tarif, sekatan, terhadap sesebuah negara lain (misal Cina?) Malaysia hendaklah ikut sama. Melalui provisi ini sahaja kedaulatan negara kita cair.”
Cadang beliau: “Apa wakil rakyat mesti buat? Tolak perjanjian ART ini di Parlimen sebagai usul kenegaraan rentas parti. Kita dicibirkan oleh rakan-rakan ASEAN, pandai cakap lakon tapi tak faham intj kedaulatan negara dan seni rundingan. Yang ditandatangani 26 Oktober 2025 itu perjanjian penjajahan bukan perjanjian perdagangan timbal-balas.”
Seorang lagi mantan menteri, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, turut menempelak kerajaan dengan kenyataan tegas: “Artikel 5.1 menyebut Malaysia perlu ikut sekatan atau tarif perdagangan Amerika Syarikat. Kalau Amerika kenakan sekatan terhadap China, Iran atau Rusia, Malaysia juga wajib ikut, walaupun negara-negara itu rakan dagang penting negara kita. Maka kita terpaksa tanya: Mengapa Cambodia boleh mempertahankan kedaulatan mereka dalam perjanjian dan kita tidak boleh?”
Beliau menambah dengan penuh sinis: “Adakah semua klausa ini benar-benar telah dipersetujui oleh seluruh kerajaan Madani? Mengapa ia ditandatangani tanpa rundingan awam atau dibentang di Parlimen walaupun proses telah bermula sejak bulan Mei lagi? Apa jaminan bahawa dasar halal, cukai dan kedaulatan ekonomi kita tidak tergadai? Dengan perjanjian ini kita telah ikat mati nasib ekonomi negara kita kepada rantaian bekalan Amerika Syarikat dan kepentingan ekonomi mereka.”
Malah, lebih teruk lagi pemimpin-pemimpin PKR, parti PMX sendiri, turut lantang menentangnya.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pula tidak berselindung apabila menyifatkan ART sebagai bentuk pengkhianatan ekonomi. Katanya: “Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika. Yang perunding-perunding ini Menteri MITI, apa yang mereka rundingkan? Ini penggadaian negara kita, ini memalukan.”
Tambah beliau: “Satu trilion ringgit (perlu disalur kepada AS) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam Negeri kena kutip, Kastam kena kutip, semuanya nanti kita bagi kepada Amerika.”
Lebih ironik, mantan menteri PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri mengakui kelemahan perjanjian Malaysia–AS berbanding Kemboja–AS.
Beliau berkata: “(Perbezaan) yang paling besar ialah (klausa perjanjian) kita menyatakan ‘shared commitment to enhance bilateral relationship between AS and Malaysia’. Kemboja dengan jelas menyatakan bahawa apa-apa (dasar) yang dibuat tidak boleh melanggar kedaulatan Kemboja. (Negara kita) Tidak ada. Dari segi mempertahankan kedaulatan, memang kita kalah dengan Kemboja.”
Turut bersuara lantang ialah seorang lagi tokoh ekonomi PKR, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, yang menyeru agar kerajaan segera memperbetulkan kesilapan besar ini: “Leaders do make mistakes. Now need to find solutions within the ‘Kunta Kinte’ Agreement. Do nothing is not a solution. Immediately ask for amendments / revisions to the Agreement citing contradictions to our local laws and constitution.”
Tambah beliau: “We can do that in writing immediately within 30 days from the Agreement signed date. Once that is done get some very competent multi disciplinary personnel to review the Agreement including but not limited to legal experts, economic and international trade specialists, cross border relations, economists, scientists, bankers etc.”
Ketelusan yang hilang: Proses yang cacat
Dari sudut prosedur dan tata kelola, perjanjian ART juga dilihat tidak mematuhi prinsip tadbir urus baik.
Ketika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement atau TPPA) (zaman Datuk Seri Najib Razak) dibincangkan dahulu, kerajaan ketika itu menubuhkan Kaukus Parlimen khas yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang. Kaukus ini bermesyuarat sebanyak 15 kali, dan perjanjian tersebut dibahaskan selama tiga hari di Parlimen sebelum diluluskan. Malah, semua ahli Parlimen dan rakyat diberikan akses penuh kepada butiran TPPA sebelum ia ditandatangani.
Namun, dalam kes ART (zaman Kerajaan Madani), walaupun turut ditubuhkan Kaukus Parlimen khas, tiada satu pun mesyuarat rasmi diadakan. Hanya satu taklimat ringkas selama 1 jam 30 minit di Menara MITI diadakan — termasuk makan tengah hari — dan selepas itu perjanjian terus ditandatangani tanpa sebarang perbahasan atau kelulusan di Parlimen.
Kesimpulan: ART adalah pengkhianatan terbesar?
Kesimpulannya, tidak menghairankan jika ART dilihat sebagai perjanjian perdagangan yang berupa penyerahan kuasa dan penggadaian maruah negara. Gelombang penentangan terhadap ART kini datang daripada semua arah — daripada ahli undang-undang, profesor, ahli ekonomi, diplomat, ahli politik kerajaan dan rakyat marhaen di media sosial.
Dalam semangat Malaysia MADANI yang kononnya mendukung prinsip ketelusan, keadilan dan kedaulatan, rakyat kini menuntut jawapan dan tindakan tegas. Jika kerajaan terus berdegil mempertahankan ART, maka sejarah akan mengingati detik ini bukan sebagai “kejayaan diplomatik” tetapi sebagai pengkhianatan terbesar terhadap maruah bangsa dan negara.
Tidak mustahil langkah-langkah tersusun yang mahu diambil oleh Pas sehubungan dengan isu ART ini akan memberi impak besar kepada suasana politik negara.
* Mohd Afifi Abdul Razak ialah Felo The Future Research dan penganalisis politik tempatan