KLANG - Lelaki yang ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak di sini pada Jumaat disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden tembakan tersebut kira-kira jam 11.13 malam.
"Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 34 tahun dan tidak bekerja.
"Suspek telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke bahagian hadapan kereta dan terkena pada bahagian hadapan badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki parah ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak berhampiran Bukit Tinggi di sini.
Mangsa berusia lingkungan 30-an itu dipercayai cedera di bahagian perut dan dada dalam kejadian berkenaan.
Selain itu, video berkaitan kejadian turut tular di media sosial.
Rakaman menunjukkan, dalam kejadian tersebut, mangsa berdiri di sebelah kereta sebelum seorang wanita yang memandu kenderaan itu masuk ke stesen minyak.
Video menunjukkan secara tiba-tiba, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri dari arah hadapan sebelum pembonceng melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Akibat tembakan itu, mangsa rebah sebelum kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian.