Bilik guru kecoh gara-gara dua ekor siamang

Iklan
Tangkap layar video milik Rafidah yang memaparkan dua ekor siamang di bilik guru sebuah sekolah kebangsaan di Genting Hghlands.

SHAH ALAM - Suasana di sebuah sekolah kebangsaan di Genting Highlands, Pahang bertukar kecoh namun mencuit hati apabila dua ekor siamang dilihat memasuki bilik guru baru-baru ini, mencetuskan situasi panik dan gelak tawa warga sekolah berkenaan.

Menerusi perkongsian video di TikTok milik @fie-daa93, kelibat haiwan itu kelihatan santai dan tidak mengganggu sesiapa, malah difahamkan turut berkeliaran di beberapa kawasan lain sekitar sekolah.

Iklan
Iklan

Pemilik akaun berkenaan yang ingin dikenali sebagai Rafidah berkata, sebelum ini kebanyakan siamang hanya berada di pondok pengawal keselamatan untuk diberi makan.

“Baru-baru ini saja mereka mula naik ke bilik guru. Mungkin cuaca terlalu sejuk, jadi siamang itu datang ke bilik guru untuk mencari makanan sebab terlalu lapar.

Iklan

“Sebelum ini mereka hanya makan di pondok dan pengawal keselamatan akan bantu jaga serta beri makanan setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Rafidah, kebanyakan murid dan guru sudah terbiasa dengan kehadiran kumpulan siamang di kawasan sekolah berkenaan.

Iklan

“Satu sekolah ini memang kawasan mereka. Setiap hari siamang akan datang, jadi murid-murid pun sudah biasa melihatnya,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini haiwan tersebut tidak pernah mencederakan sesiapa dan hanya datang untuk mencari makanan.

“Kami juga ada jaga seekor siamang yang kami panggil sebagai Maktam. Biasanya kami beli stok buah-buahan contohnya epal untuk diberi kepadanya,” menurutnya.