SHAH ALAM – Dapur taman tema dikenal pasti punca insiden keracunan makanan membabitkan seramai 322 peserta Program Hari Keluarga sebuah agensi kerajaan di sebuah taman tema di Selangor pada 4 Oktober lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pencemaran pada makanan dan peralatan memasak yang digunakan semasa penyediaan hidangan pada program berkenaan.
“Antara faktor penyumbang ialah penyediaan makanan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali yang terhad, tempoh penyimpanan makanan yang panjang sebelum dihidangkan serta kemungkinan berlaku pencemaran silang,” katanya pada Jumaat.
Menurut JKNS, sebanyak 322 individu daripada 4,710 yang terdedah (6.8 peratus) mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut.
"Majoriti kes membabitkan golongan dewasa (92 peratus), manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.
Jelas kenyataan itu, semua kes mendapatkan rawatan dan tiada yang dimasukkan ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kematian dilaporkan.
Susulan itu, kenyataan memaklumkan, premis dapur taman tema berkenaan diarahkan tutup bagi tujuan pembersihan dan nyah kuman, manakala taman tema itu tidak ditutup sepenuhnya kerana punca kejadian bukan berpunca daripada faktor persekitaran.
“Premis dapur hanya dibenarkan beroperasi semula selepas disahkan bersih dan mematuhi semua keperluan keselamatan makanan,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, JKNS turut melaksanakan komunikasi risiko dan sesi libat urus bersama pihak pengurusan taman tema serta penganjur program bagi memperkukuh amalan kebersihan makanan di semua peringkat penyediaan.
"Makluman juga diberikan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan negeri lain bagi membantu pengesanan serta pemantauan kes bergejala," tambah kenyataan.
JKNS menasihatkan semua pengendali makanan supaya mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, selain memastikan kebersihan diri, peralatan dan bahan mentah sentiasa dijaga.
Orang ramai pula disaran memilih premis makanan bersih, selain mengamalkan konsep 'lihat, hidu dan rasa' sebelum makan, serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit, muntah atau sakit perut selepas mengambil makanan.