PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyelar sikap pembangkang yang lantang mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) dengan Amerika Syarikat (AS) tanpa memahami isu kandungan sebenar perjanjian tersebut.
Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kritikan melulu tanpa asas mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah dan tidak berasaskan ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu yang dibangkitkan.
"Kadang-kadang rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan AS, terus kata kita mengalah, kita dijajah.
"Sudah baca (perjanjian) ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Festival Idea Putrajaya (FOI) di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurutnya, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan dan penyelidikan dengan negara luar secara bijaksana bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta akademik negara.
"Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat untuk melabur, meningkatkan perdagangan, penyelidikan dan kerjasama universiti.
"Ini menunjukkan Malaysia semakin diyakini," jelas beliau.
Ujar Anwar, mahasiswa agar menjadi pelopor kepada percambahan idea yang segar, berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
"Kita sudah merdeka hampir tujuh dekad tetapi masih ada yang terperangkap dengan idea kuno dan jumud, menghina kaum, memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka.
"Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa itu lebih hebat daripada sebahagian ahli Parlimen yang ada.
"Nak bahas dengan idea pendorong dan idea yang segar ke arah islah serta berteraskan akhlak dan etika," katanya.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan perjuangan membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara terus diperkasa kerajaan dengan hasil ketara sejak dua tahun lalu.
“Belum pernah dalam sejarah, dalam dua tahun ini kita berjaya menghentikan banyak penyeludupan, perjudian dalam talian, ketirisan dan rasuah. Sebanyak RM15.5 bilion telah diselamatkan.
"Tetapi sepatah pun tidak kedengaran dari pembangkang menyokong usaha ini malah, ada yang mahu pertahankan perasuah besar,” katanya.