PUTRAJAYA – Pendidikan tinggi kini bukan sekadar melahirkan graduan berilmu tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan sosial, ekonomi dan teknologi.
Hal ini menjadi fokus utama Forum Festival of Ideas (FOI) yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin, pada Rabu.
Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina, Dr Shirley Castaneda Agrupis, berkata, ilmu tidak lagi terkurung dalam bilik kuliah atau buku teks.
“Ia berkembang melalui persoalan, kolaborasi dan penciptaan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa penyelidik yang bekerja di negara lain tidak memikirkan soal politik atau latar belakang negara.
“Selagi ada peluang untuk bekerjasama, menjalankan penyelidikan bersama, mereka akan lakukannya. Pendidikan bersifat tanpa batas,” jelasnya.
Beliau mencadangkan agar Festival of Ideas (FOI) dikembangkan ke skala ASEAN, membolehkan pelajar dan penyelidik berkongsi idea, produk penyelidikan, serta pengalaman merentasi sempadan negara.
“Apabila pelajar saya pergi ke Malaysia, minda mereka akan terbuka. Mereka akan memahami budaya jiran dan membawa pulang pengetahuan untuk memajukan negara sendiri. Mereka akan menjadi pemimpin masa depan yang memahami rantau ini,” tambahnya.
Selain itu, Shirley mencadangkan pembinaan empayar saintifik ASEAN bagi memanfaatkan populasi besar dan universiti kukuh di rantau ini.
"Mobiliti pelajar tanpa halangan visa akan memudahkan pertukaran ilmu, penyelidikan bersama, dan pemindahan kredit antara universiti," katanya.
Beliau turut memberi contoh mudah jika universiti di Indonesia kekurangan peralatan tertentu, sampel penyelidikan boleh dihantar ke Malaysia untuk dianalisis bersama.
“Pendekatan ini sangat mudah dan boleh memperkukuh masyarakat serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Shirley menekankan kepentingan Konvensyen Tokyo yang membolehkan pengiktirafan rasmi kursus dan ijazah di seluruh ASEAN.
Dengan ratifikasi itu, mahasiswa boleh belajar di Malaysia atau Indonesia tanpa halangan birokrasi.
“Hanya dengan itu barulah kita benar-benar dapat mendefinisikan pendidikan tanpa sempadan dan membina komuniti ASEAN yang aman dan progresif,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Profesor Brian Yuliarto, menekankan cabaran membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran, dikenali sebagai Valley of Death.
“Tahap kesediaan teknologi 5 hingga 7 adalah paling kritikal dan mahal. Universiti perlu melibatkan industri sejak awal kerana industri tahu produk mana berpotensi di pasaran,” katanya.
Jelas beliau, kolaborasi rapat antara penyelidik, pelajar pascasiswazah dan industri agar hasil penyelidikan benar-benar memberi impak.
"Pembiayaan industri dan sokongan kerajaan serta media sosial juga penting bagi kejayaan projek penyelidikan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, universiti perlu mengukur impak bukan sekadar bilangan penyelidikan atau penarafan antarabangsa.
“Kita perlu beralih daripada budaya mengira hasil kepada budaya mengukur impak.
"Ahli akademik harus melihat industri dan masyarakat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau menambah universiti perlu bergerak daripada model universiti berdikari kepada
ditadbir oleh rangkaian yang mana ia beroperasi melalui jaringan dengan komuniti, industri dan negara ASEAN.
Senada dengan Shirley, Azlan turut mencadangkan agar Festival of Ideas tahun depan menjadi platform ASEAN sepenuhnya, melibatkan pelajar dan pensyarah dari seluruh rantau, sekaligus membina jaringan saintifik dan pendidikan tanpa sempadan.
Novie merumuskan bahawa kepentingan ilmu pengetahuan memberi impak sosial, memperkukuh kerjasama serantau, dan melahirkan graduan bersedia menghadapi cabaran global.
Jelasnya, kerjasama pendidikan tinggi merentas sempadan bukan sekadar pertukaran pelajar atau pensyarah, tetapi juga pembangunan produk tempatan, pengiktirafan kursus, dan pembentukan jaringan saintifik serantau.